Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur hari ini menjalankan operasi nyahcemar 132 pelajar tahfiz dari masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur.

Masjid itu menjadi lokasi perhimpunan tabligh bulan lepas yang menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di Malaysia.

Operasi itu melibatkan pasukan bomba dan penyelamat yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Nordin Pauzi, polis, Kementerian Kesihatan, Agensi Pengurusan Bencana Nasional (Nadma), dan syarikat perkhidmatan sokongan perubatan Radicare.

Menurut Pengarah Operasi Khairul Azuwan Ibrahim dalam satu kenyataan, empat bas membawa pelajar dari masjid Sri Petaling ke Home Surveillance Center (HSC) di Institut Sosial Malaysia di Kuala Lumpur.

Proses nyahcemar dilakukan oleh Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) bomba.

Selepas proses itu, pelajar akan dikuarantin di sana selama dua minggu.

"Semua akan dinyahcemar berperingkat mengikut arahan pihak berkuasa dan ditempatkan di lokasi kuarantin yang telah ditetapkan.

"Proses penempatan Home Surveillance Center(HSC) akan dibuat selama 14 hari utk tujuan pemantauan di bawah kategori PUI (pesakit di bawah siasatan)," kata jurucakap jabatan itu, Muhammad Ridhwan kepada media melalui mesej WhatsApp.

Anggota bomba juga menyahcemar bas yang digunakan untuk mengangkut pelajar.

Pada 13 Mac, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menganggarkan bahawa kira-kira 16,000 orang telah menghadiri acara tabligh dari 27 Feb hingga 1 Mac.

Daripada jumlah itu, kira-kira 14,500 dipercayai rakyat Malaysia.