Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: Kualiti kredit, kapasiti syarikat penerbangan terjejas

Sektor penerbangan penumpang merupakan antara industri paling teruk terjejas susulan impak Covid-19 terus ketara berikutan dedahannya terhadap sekatan perjalanan serta sensitiviti permintaan dan sentimen pengguna, demikian menurut Moody’s Investors Service (Moody’s).

Dalam kenyataannya, Moody berkata sejajar dengan sentimen dan kejutan awal yang ketara akibat pandemik itu dijangka menyebabkan penyusutan kualiti kredit serta ketidaktentuan selain meningkatkan lagi risiko sedia ada yang membebankan sektor terbabit.

Malah, Naib Presiden Kanan Moody’s Jonathan Root percaya kapasiti sektor itu akan berkurangan sebanyak 40-60 peratus atau lebih pada suku kedua 2020 dan mencecah 75 peratus dalam keadaan tertentu berbanding suku kedua pada 2019.

“Bagi asas tempoh tahun penuh, kami menjangkakan kapasiti industri itu di peringkat global akan susut kepada sekitar 25-35 peratus dengan mengandaikan penularan virus itu lebih perlahan pada akhir Jun dan menyaksikan permintaan penumpang itu kembali pulih,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Moody’s Martin Hallmark berkata pemacu utama bagaimana kualiti kredit itu akan terjejas adalah dari segi tempoh permintaan dan sama ada syarikat-syarikat penerbangan ini mempunyai mudah tunai mencukupi untuk bertahan sehingga dapat menyaksikan jadual asal berfungsi semula.

Menurutnya, walaupun syarikat penerbangan yang lemah terus dihimpit kesukaran, syarikat lebih kukuh juga tidak terkecuali walaupun mempunyai penampan mudah tunai yang kukuh ketika mengharungi krisis itu.

Selepas semakan semula pertama Moody’s terhadap unjuran industri penerbangan global kepada negatif pada awal Mac lepas, ia pada awal minggu ini bertindak menilai semula profil risiko penerbit termasuk menurunkan penarafan bagi sebahagian besar syarikat penerbangan yang dinilainya.

Moody’s berkata hasil penilaian awal dilakukannya menunjukkan syarikat penerbangan besar mempunyai mudah tunai mencukupi bagi mengharungi gangguan jangka pendek sehingga Jun dan seterus menyederhana pada suku ketiga.

Bagaimana pun, ia menjangkakan lebih banyak syarikat penerbangan dengan mudah tunai bersaiz sederhana dan/atau kurang akan lebih terdedah, termasuk berpotensi lumpuh dalam masa singkat jika tidak mendapat sokongan pemegang saham dan/atau bantuan kerajaan pusat.

“Moody’s juga ingin menyatakan bahawa pada akhirnya kelak, campur tangan kerajaan itu adalah kritikal.”

Agensi penarafan itu juga percaya banyak syarikat penerbangan akan memerlukan sokongan kewangan daripada kerajaan Persekutuan dan Negeri, terutamanya menerusi pelaksanaan lebih banyak langkah-langkah agresif bagi membendung penularan virus itu.

“Jelas sekali, di peringkat global, pelbagai langkah kelonggaran sama ada sedang atau dipertimbang bagi menampan kesan ekonomi seterusnya kini diusahakan,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS