Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
KKM kesan ahli Tabligh untuk diuji, meski tiada gejala Covid-19
Diterbitkan:  Mar 23, 2020 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Kementerian Kesihatan memaklumkan sedang dalam usaha mengesan semua peserta himpunan Tabligh di Masjid Seri Petaling bulan lalu untuk melakukan pemeriksaan walaupun tidak menunjukkan gejala wabak Covid-19.

Ketua Pengarah KKM Dr Noor Hisham memberitahu "akan bekerjasama dengan pihak polis" untuk membawa peserta Tabligh terbabit ke hospital atau klinik.

"Itu yang penting untuk kesan. Bila dapat kesan baru laksana ujian Covid-19, kalau positif akan dimasukkan ke hospital atau kuarantin. Tapi kalau negatif akan lihat bagaimana nak susuli," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau juga ditanya sekiranya KKM akan membuat ujian saringan terhadap semua peserta himpunan Tabligh berkenaan.

"Memang sekarang ini tidak ada simtom pun kita akan uji semua jemaah Tabligh," jelasnya lagi.

Semalam, Ahli Mesyuarat Markaz Dakwah dan Tabligh Malaysia, Abdullah Cheong berkata pihaknya menerima banyak laporan peserta ijtima tersebut telah membuat pemeriksaan di pejabat kesihatan daerah ataupun hospital berhampiran, terutamanya pada beberapa hari pertama.

Bagaimanapun, kata Abdullah semalam, ahli jemaah Tabligh telah diminta pulang ke rumah masing-masing dan melakukan kuarantin selama 14 hari apabila didapati mereka tidak menunjukkan sebarang gejala.

"Namun kami khuatir butiran mereka tidak direkod sebelum mereka dihantar pulang.

"Apabila terdengar laporan yang mengatakan ribuan peserta ijtimak belum lagi disaring, ramai antara mereka telah pergi berkali-kali ke pejabat kesihatan daerah atau hospital berhampiran sehingga nama mereka direkod dan butiran mereka diambil," katanya.

Beliau juga mendakwa jumlah peserta di perhimpunan itu hanya 12,000 dan bukannya 16,000, dengan 14,500 peserta tempatan dan 1,500 peserta asing.

Bagaimanapun, KKM dimaklumkan dalam perbincangannya dengan jawatankuasa perhimpunan tabligh itu bahawa terdapat sekitar 14,500 peserta tempatan.

Sehubungan itu, ketua pengarah KKM berkata, sasaran kementerian masih untuk menyaring baki peserta tempatan perhimpunan tabligh itu.

Malaysia mencatatkan 212 lagi kes Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir, iaitu bilangan tertinggi sejak permulaan wabak itu pada akhir Januari.

Ini membawa jumlah keseluruhan kepada sebanyak 1,518 kes.

Daripada 212 kes baru, 123 dikesan daripada kluster perhimpunan Tabligh di Sri Petaling, Kuala Lumpur yang diadakan lewat bulan lalu.

Sementara itu, Covid-19 meragut empat lagi nyawa menjadikan jumlah kematian kepada 14 orang.

Lihat Komen
ADS