Malaysiakini
BERITA

Hospital kekurangan PPE terima sumbangan plastik pakai buang

Bernama

Diterbitkan

Pengeluar plastik menyumbang dan membekalkan bahan-bahan plastik kepada hospital dan petugas barisan hadapannya sebagai tindakan kepada kekurangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) berikutan penularan Covid-19.

Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia (MPMA) menganjurkan kempen menyumbang dalam kalangan ahlinya, menggesa mereka menyumbang sebarang bentuk sumbangan yang boleh untuk disalurkan kepada hospital yang menghadapi kekurangan bekalan pakai buang, termasuk air mineral, penutup mulut dan hidung, apron, pakaian, kasut atau pelindung kaki, botol dan gogal.

Presidennya, Lim Kok Boon berkata ahli-ahli persatuan itu telah menyumbang sebanyak 15,000 apron plastik kepada doktor, jururawat dan petugas hospital dan akan menyumbang lebih banyak dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Kami sedang mencari bekalan apron plastik yang lebih panjang dan sesuai untuk petugas perubatan barisan hadapan.

“Dalam pada itu, ahli kami menyediakan helaian lapisan plastik bagi kegunaan petugas barisan hadapan untuk memenuhi keperluan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Helaian plastik yang disumbangkan boleh digunakan sebagai halangan sementara atau langsir di hospital, serta perlindungan pakai buang untuk kakitangan perubatan.

"Memandangkan plastik merupakan sektor penting, kami bertekad untuk melakukan apa yang termampu untuk membantu negara melawan wabak Covid-19," kata Lim, sambil menambah: "Kita mesti melindungi petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak ini."

-Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.