Pelajar UEC Sarawak boleh masuk U negeri, pendidikan percuma tanpa lulus BM
DUN SARAWAK | Pelajar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang gagal dalam subjek Bahasa Melayu (BM) masih layak memasuki universiti milik Sarawak dan menerima pendidikan di bawah Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) negeri itu, tertakluk kepada syarat kemasukan lain.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr Annuar Rapaee, berkata kelulusan subjek Bahasa Melayu bukan prasyarat untuk memasuki empat universiti milik negeri itu atau melayakkan diri menerima skim berkenaan yang meliputi 64 kursus.
“Persoalan ini sangat penting kerana ia membezakan dasar yang kita laksanakan di Sarawak – sama ada Bahasa Melayu menjadi prasyarat penting untuk memasuki empat universiti kita atau turut menjadi kriteria penting bagi pelajar UEC untuk layak menerima pendidikan tinggi percuma.
“Yang Berhormat, jawapannya tidak. Bahasa Melayu tidak diperlukan untuk mereka layak memasuki universiti kita atau menerima pendidikan tinggi percuma,” katanya ketika sesi soal jawab lisan semalam.
Annuar berkata pelajar UEC tertakluk kepada syarat kemasukan yang sama seperti pemohon lain, termasuk memperoleh sekurang-kurangnya lima gred B pada peringkat menengah atas dalam peperiksaan UEC.
Kata Adun Nangka itu lagi, pelajar yang memenuhi syarat berkenaan dan mengikuti salah satu daripada 64 kursus yang diliputi FTES secara automatik layak menerima manfaat skim berkenaan.
Sarawak mempunyai empat universiti dalam sistem pendidikan tingginya, iaitu Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu; Curtin University Malaysia di Miri; Swinburne University of Technology Kampus Sarawak dan i-CATS University College, kedua-duanya di Kuching.
Dilancarkan tahun ini, FTES menanggung yuran pengajian bagi pelajar ijazah sarjana muda yang layak dan mengikuti 64 program pengajian.
Annuar turut dilihat menyindir pendekatan kerajaan persekutuan berhubung syarat bahasa untuk kemasukan ke universiti dengan membandingkan dasar Sarawak dengan syarat yang dikenakan terhadap pelajar yang memohon tempat di universiti awam.
“Dasar ini menunjukkan perbezaan yang sangat ketara berbanding pendekatan yang diguna pakai di tempat lain.
“Jadi, saya berharap ini menjadi mesej yang sangat jelas kepada seluruh rakyat Sarawak, khususnya pemegang UEC, bahawa anda tidak berbeza berbanding orang lain.
“Selagi anda layak memasuki empat universiti itu, anda secara automatik layak menerima FTES,” katanya.
Bagaimanapun, Annuar menggesa pemegang UEC supaya memastikan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik memandangkan bahasa itu digunakan sebagai bahasa pengantar di universiti-universiti berkenaan.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/AnnuarRapaee111_761548.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.