MP Bandar Kuching keluar hospital lepas 2 ujian susulan negatif
Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii yang sebelum ini dikuarantin kerana positif Covid-19 keluar hospital selepas dua ujian susulan menunjukkan keputusan negatif.
"Hari ini Jabatan Kesihatan telah memaklumkan kepada saya bahawa ujian terakhir saya negatif dan dengan itu saya dibenarkan keluar hospital dan balik rumah.
"Bagaimanapun, saya akan meneruskan pengasingan diri untuk langkah berjaga-jaga dan terus mengikuti nasihat Jabatan Kesihatan sepanjang tempoh ini," kata Yii dalam satu kenyataan hari ini.
Sepanjang tujuh hari di hospital, Yii berkata dia berasa sihat dan doktor mengikuti prosedur untuk menjalankan dua ujian akhir Covid-19 ke atasnya.
Dengan kedua-dua keputusan negatif, Yii berkata doktor telah memutuskan untuk melepaskannya hari ini.
"Memandangkan kedua-dua ujian ini menunjukkan keputusan yang menggalakkan, doktor kemudian membuat keputusan untuk membenarkan saya pulang ke rumah dengan langkah berjaga-jaga yang perlu diambil," katanya.
Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih dan menyatakan kekaguman kepada pihak barisan depan dari kalangan petugas penjagaan kesihatan sehingga kakitangan pembersih hospital serta kakitangan perkhidmatan lain.
"Semua mereka seperti anda dan saya, mereka mempunyai keluarga di rumah yang mereka bimbangi, yang mereka harus jaga dan juga risau tentang keadaan mereka.
"Ada di antara mereka adalah ibu bapa dengan anak-anak kecil di rumah, jadi mereka tidak hanya membahayakan nyawa mereka sendiri di barisan hadapan, tetapi juga kehidupan keluarga mereka juga terdedah," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, seorang pesuruhjaya Suhakam juga mengesahkan bahawa dia menerima dua keputusan ujian negatif Covid-19 dan telah dilepaskan selepas sembilan hari di hospital.
Suhakam pada mulanya mengumumkan bahawa ibu pejabatnya akan ditutup dan dibasmi kuman dari 11 Mac hingga 13 Mac selepas mengesan kes positif pertama di kalangan kakitangannya.
Bagaimanapun, suruhanjaya itu kemudiannya menghantar notis penutupan pejabatnya di Menara TH Perdana, Kuala Lumpur, yang dilanjutkan dan hanya akan dibuka semula pada 25 Mac.

