DPMM, MTEM mahu kerajaan ambil langkah luar biasa
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengharapkan pakej rangsangan ekonomi yang lebih komprehensif akan dibentang kerajaan hujung bulan ini.
Dalam satu kenyataan bersama, DPMM dan MTEM berharap agar sesuatu yang luar biasa dilakukan kerajaan dalam situasi ekonomi mencabar ketika ini kesan penularan wabak Covid-19.
Jelas mereka, beberapa langkah yang diambil kerajaan ketika ini adalah tepat, namun tumpuan juga harus diberikan kepada perusahaan kecil sederhana (PKS).
"Merujuk kepada kenyataan daripada pelbagai pemegang taruh dan membandingkan dengan apa yang berlaku di bawah, ia jelas belum cukup. Sesuatu yang luar biasa perlu dilakukan dalam keadaan yang juga seperti ini.
"Banyak syarikat besar yang mampu untuk terus berfungsi dengan mengurangkan pekerja dan berkhidmat dari rumah.
"Realitinya semua sektor ekonomi perlu terus berfungsi untuk menyokong peniaga dan perniagaan walaupun dengan kekangan akibat perintah kawalan pergerakan.
"Kita menaruh harapan pada kerajaan untuk membentangkan pakej rangsangan yang lebih komprehensif, yang akan dibentangkan pada hujung bulan ini, seperti yang diutarakan sebelum ini," kata kenyataan itu.
Ada langkah tambahan
Ia dikeluakan bersama Presiden DPMM Abd Halim Husin dan Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa inisiatif kerajaan bagi menghadapi situasi sukar ketika berhadap Covid-19.
Antaranya meluluskan peruntukan RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan serta RM130 juta kepada setiap negeri bagi membantu kerajaan negeri menangani Covid-19.
Selain turut memberi penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Muhyiddin juga turut mengumumkan inisitiaf membenarkan Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini mengeluarkan RM500 sebulan daripaada akaun 2 selama 12 bulan, bagi meringankan beban kos sara hidup akibat impak wabak Covid-19.
Dalam pada itu, MTEM dan DPMM mencadangkan beberapa langkah tambahan yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan bagi membantu usahawan yang terjejas oleh Covid-19.
Antaranya, menunda beberapa pembayaran dan obligasi yang diwajibkan terhadap perniagaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) supaya diberikan pengecualian selama enam bulan.
Katanya, ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada peniaga-peniaga terutamanya dalam kalangan PKS yang mewakili lebih 70 peratus daripada populasi perniagaan di negara ini.
"Percepatkan pengeluaran dana-dana PKS yang telah lulus atau hampir lulus. Pembiayaan perniagaan mudah lulus.
"Kerajaan dan agensi berkaitan tidak boleh menjadikan perintah kawalan pergerakan ini untuk melambatkan atau menghentikan pemberian dana-dana usahawan.
"Pengecualian daripada pembayaran cukai jualan dan perkhidmatan dan cukai-cukai berkaitan pelancongan dan industri yang hilang punca pendapatan," katanya.

