Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR saran skim jaminan pembelian balik untuk petani
Diterbitkan:  Mar 24, 2020 1:29 PM
Dikemaskini: 6:26 AM

Pengarah Strategi PKR Sim Tze Sin menyeru kerajaan supaya mengambil langkah drastik dalam mengatasi kerugian yang dihadapi oleh petani sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Jelasnya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan harus mengerakkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk melakukan skim jaminan pembelian balik, iaitu dengan membeli lebihan hasil petani sepanjang tempoh perintah terbabit.

“Lebihan hasil pertanian boleh disalurkan kepada golongan yang berpendapatan rendah pada harga yang berpatutan.

“Ini sebenarnya peranan Fama selama ini. Pada saat krisis, peranan tersebut harus diperluaskan dan dipercepatkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac ini bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Perintah itu antara lain mewajibkan penutupan kebanyakan premis perniagaan, sekolah dan institut pengajian tinggi, serta premis kerajaan dan swasta melainkan perkhidmatan penting.

Sementara itu Sim, yang juga merupakan bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani berkata bahawa perintah tersebut telah menjejaskan rantaian pertanian.

Katanya, ramai pemandu lori menghadapi masalah permit merentasi negeri dan mengeksport tanaman.

Tambahnya, pihak kementerian harus mengkaji seluruh rantaian pertanian supaya hasil pertanian masih boleh dipasarkan.

“Ramai petani menghadapi masalah mendapatkan input pertanian seperti benih, baja, racun serangga kerana kedai diperintah tutup. Ini akan menjejaskan musim penanaman yang baru.

“Petani juga menghadapi kekurangan kotak dan bahan pertanian kerana kilang diperintah tutup. Apabila kekurangan kotak, hasil pertanian tidak dapat dihantar ke pasaran,” katanya yang juga merupakan ahli parlimen Bayan Baru.

Lihat Komen
ADS