Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Tabung #MusaadahCovid19 bukan hanya untuk Muslim’
Diterbitkan:  Mar 25, 2020 12:19 PM
Dikemaskini: 4:19 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengulangi bahawa beliau tidak pernah menyebit bahawa tabung #MusaadahCovid19 yang dilancarkan hari ini adalah khusus untuk umat Islam.

Dalam ciapannya di Twitter, bekas mufti Wilayah Persekutuan itu berkata beliau tidak pernah menyebut bahawa dana Jabatan Hal Ehwal Islam (Jakim) itu adalah hanya untuk umat Islam, seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal.

“Saya tidak pernah menyebut Tabung #MusaadahCovid19 khusus untuk Muslim.

“Saya telah ulang beberapa kali, tabung ini untuk mereka yang memerlukan, termasuk frontliners (petugas barisan hadapan), dan lain-lain,” kata Zulkifli sambil memuat naik klip video berkaitan sidang media olehnya selepas melancarkan tabung itu di Putrajaya.

Katanya, selain asnaf yang menjadi keutamaan, agensi-agensi di bawah kementeriannya telah menyampaikan sumbangan lebih RM20 juta kepada gelandangan, petugas barisan hadapan dan pelajar tanpa mengira agama dan bangsa.

“Saya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk kenyataan yang tidak menggambarkan pendirian saya sejak enam tahun menjadi penjawat awam, terutamanya melibatkan isu hubungan antara agama dan kaum.,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Zulkifli berkata, dengan penuh rasa hormat, beliau memohon portal berkenaan supaya membetulkan kenyataan tersebut dan membuat permohonan maaf.

Mengenai tabung yang baru dilancarkan itu, kata Zulkifli, adalah hasil wang kutipan yang akan digunakan untuk membantu mereka yang terjejas oleh wabak Covid-19, terutamanya penjawat awam dan pegawai kader Jakim yang bertugas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata golongan lain yang dikenal pasti untuk menerima bantuan itu termasuk mereka yang terdedah secara langsung kepada jangkitan tersebut seperti pasukan yang mengendalikan si mati, pemandu van jenazah dan penggali kubur.

Lihat Komen
ADS