PAS menyifatkan tindakan kerajaan negeri menyerap Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) sebagai satu tindakan yang merugikan anak Terengganu.

Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali juga menganggap tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu akan menutup peluang lebih ramai anak Terengganu melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

"Jika Kusza dikekalkan sebagai sebuah institusi berasingan tentu lebih ramai anak Terengganu dapat melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi tempatan.

Mengapa mesti ditutup institusi pengajian tinggi yang sedia ada dan terbukti kecemerlangannya apabila kita membuka sebuah universiti baru," persoal beliau ketika dihubungi malaysiakini.

Yahya berkata, sepatutnya Kusza dikekalkan seiring dengan kewujudan Universiti Darul Iman (UDI) supaya lebih banyak peluang melanjutkan tempat ke pusat pengajian tinggi terbuka untuk anak Terengganu dan pelajar luar.

Beliau mengulas tindakan Dewan Undangan Negeri Terengganu meluluskan pembubaran Kusza untuk diserapkan ke dalam UDI baru-baru ini.

Beliau juga bimbang kuota kemasukan pelajar Terengganu ke dalam Kusza yang kini diserap ke dalam UDI akan terjejas kerana kerajaan negeri Terengganu tidak berkuasa ke atas UDI kerana universiti tersebut terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat.

"Memandangkan UDI diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, ini bermakna kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa terhadap kuota kemasukan pelajar dan arah tuju Kusza," katanya.

Naik taraf

Bagaimanapun bekas Setiausaha Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Tengku Mahmud Mansur menafikan dakwaan pembubaran Kusza suatu yang merugikan.

Katanya, Kusza tidak ditutup tetapi diserap menjadi sebahagian daripada UDI dan kampus yang sedia ada akan terus digunakan.

Beliau berkata, Kusza yang ditubuhkan pada 1976 oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad akan meneruskan agendanya untuk memberi lebih ruang kepada anak tempatan mendapat pendidikan tinggi.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Kusza, Datuk Dr Abdul Latif Awang berkata, semua 23 kursus peringkat diploma yang ditawarkan oleh Kusza sebelum ini tetap diteruskan walaupun ia diserapkan dalam UDI.

"Malah apabila Kusza diserapkan di bawah UDI, imejnya berjaya ditingkatkan kerana sebelum ini status Kusza ialah pusat pengajian tinggi kerajaan (PTK) dan bukannya institut pengajian tinggi awam (IPTA) atau institut pengajian tinggi swasta (IPTS),"tambahnya.

Beliau juga memberi jaminan, kecemerlangan akademik Kusza akan tetap dikekalkan walaupun ia diserapkan ke dalam UDI.

"Penyerapan Kusza ke dalam UDI juga akan memberi kebaikan dari segi kewangan kerana institusi pengajian tinggi agama itu tidak perlu lagi membayar membayar royalti kepada universiti awam tempatan bagi menjalankan program berkembar," jelasnya lagi.