Kerajaan akan menyerahkan kontrak membina jambatan kedua Pulau Pinang kepada konsortium syarikat-syarikat, bukannya kepada sebuah syarikat sahaja.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, kabinet memutuskan bahawa semua syarikat yang bercadang untuk membida tender pembinaan jambatan itu agar menubuhkan konsortium.

"Kerajaan lebih berminat kepada konsortium yang terdiri daripada beberapa syarikat untuk melaksanakan projek besar ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Pegawai Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Petaling Jaya hari ini.

Menurutnya setakat ini, empat buah syarikat telah memohon tender projek itu. Keempat-empat syarikat itu, termasuk dua syarikat, masing-masing dari China dan Korea serta dua syarikat tempatan - Muhibbah Engineering Sdn Bhd dan sebuah lagi anak syarikat Arab Malaysian Bank.

Beliau berkata, kementeriannya kini dalam proses mengkaji jajaran jambatan dan pengambilan tanah yang diperlukan bagi membina jambatan itu.

"Jurutera sedang mengkaji jajaran jambatan baru itu. Kita juga perlu mengkaji banyak mana tanah yang perlu diambil alih. Sebaik sahaja ini selesai, saya akan bentangkan kepada Kabinet dan hanya selepas itu tender sebenar akan dikeluarkan

Kerajaan meluluskan cadangan pembinaan jambatan kedua ini dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Dewan Rakyat pada 31 Mac lepas.

Awal bulan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi berkata projek itu dikenal pasti sebagai "projek yang mempunyai impak yang tinggi" di bawah RMK-9 yang perlu dilaksanakan dengan segera.

Dianggarkan berharga RM2.7 bilion, jambatan sepanjang 24km itu akan menghubungkan Batu Kawan di Seberang Prai dengan Batu Maung di bahagian pulau.

Jambatan kedua itu bertujuan mengatasi kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang, yang dibina 21 tahun lalu menghubungkan Prai di tanah besar dengan Gelugor di bahagian pulau. Jambatan pertama itu digunakan oleh 110,000 kenderaan manakala kira-kira 15,000 lagi kenderaan menggunakan feri untuk berulang-alik dari tanah besar ke bahagian pulau setiap hari.

Mengenai perkara lain, Samy Vellu menyokong kenyataan Perdana Menteri semalam bahawa tiada tempat bagi kontraktor dengan rekod pencapaian yang buruk dalam RMK-9.

Abdullah sekembalinya dari lawatan selama tiga hari ke Jepun memberitahu pemberita bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan syarikat yang gagal menyiapkan projek yang telah diberikan kepada mereka pada masa lepas, dan syarikat terbabit tidak akan dipertimbangkan untuk projek baru.

"Kita perlu mencari jalan untuk mendenda syarikat yang disenaraihitamkan ini. Mereka membida tender untuk projek dan selepas wang dibayar mereka tidak menyiapkan projek tetapi sebaliknya menghilangkan diri. PISB (Peransang International Sdn Bhd) ialah satu contoh," katanya merujuk kepada kontraktor utama projek pembinaan bangunan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di ibu negara.

Pembinaan bangunan Matrade, yang baru sahaja disiapkan itu, bermula pada 1997. Kos asal projek ialah sebanyak RM167 juta tetapi melonjak kepada RM287.5 juta, dengan kira-kira RM64.8 juta dibelanja hanya untuk membaiki bangunan itu disebabkan kerja yang tidak bermutu.