Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sukarelawan UPM hasilkan pelindung muka bantu petugas barisan depan
Diterbitkan:  Mar 28, 2020 6:20 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Bagi membantu mereka yang terlibat secara langsung menangani kes Covid-19, tiga sukarelawan mengambil inisiatif menghasilkan sendiri pelindung muka setiap hari untuk diedarkan buat petugas petugas barisan hadapan di beberapa hospital di Lembah Klang.

Trio dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menghasilkan pelindung muka berkenaan menggunakan tiga mesin cetakan tiga dimensi di rumah masing-masing, dan semua data percetakan dikongsi menggunakan cloud.

Menurut ketua kumpulan itu, Ts. Dr. Mohd Shahrizal Dolah yang merupakan seorang pensyarah, satu pelindung muka mengambil masa sejam untuk dihasilkan, manakala satu mesin cetakan tiga dimensi boleh menghasilkan 15 penutup muka dalam sehari.

“Pasukan kami bertiga tidak menang tangan dan hanya berupaya menghasilkan 45 keping pelindung muka sehari. Setakat hari ini kami telah menghasilkan 180 keping pelindung muka yang telah diedarkan ke hospital-hospital.

“Pada mulanya produk kumpulan kami dihantar ke hospital terlibat dengan jumlah kecil berdasarkan jumlah permintaan tetapi lama kelamaan permintaan semakin tinggi [...]” katanya dalam satu kenyataan.

Antara hospital yang mendapat sumbangan pelindung muka mereka ialah Hospital Pengajar UPM (HUPM), Hospital Serdang dan Hospital Kajang.

Kumpulan itu digerakkan sejak 25 Mac lalu oleh Shahrizal bersama seorang lagi pensyarah, Dr. Saiful Hasley Ramli dan pelajar pasca siswazah, Mohd Firuz Mohd Anwar.

Ketiga-tiga mereka dari Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB) UPM.

Kata Shahrizal, mereka menggunakan perbelanjaan sendiri untuk projek berkenaan selain menerima lebihan bahan daripada geran penyelidikan sumbangan rakan pensyarah lain.

Mereka turut mendapat sumbangan peralatan dari NGO 3D Printing Malaysia Community for Covid 19, selain bantuan produksi dari pasukan 3D printing Selangor.

Katanya, terdapat juga sukarelawan lain yang membuat kerja seumpamanya di rumah masing-masing, dan kesemua mereka bekerjasama membekalkan penutup muka mengikut hospital di wilayah yang ditetapkan.

“Walau bagaimanapun, jika kami dapat menggunakan pemotong laser, penutup muka lebih cepat dihasilkan,” tambahnya.

Menurut Shahrizal juga, dia berharap lebih ramai sukarelawan tampil turut serta, memandangkan permintaan pelindung muka semakin meningkat- dianggarkan sehingga 5,000 keping sehari- ekoran peningkatan kes jangkitan Covid-19.

“Diharapkan lebih ramai sukarelawan yang akan mengambil inisiatif dalam menghasilkan pelindung muka ini dalam menghadapi gelombang Covid-19 yang ketiga (nanti),” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS