Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit ujian Covid-19 dari Korea, China tiba di Malaysia
Diterbitkan:  Mar 28, 2020 7:41 PM
Dikemaskini: 11:41 AM

Kumpulan pertama kit ujian Covid-19 dari Korea Selatan tiba di Malaysia dan kini sedang dinilai oleh Kementerian Kesihatan.

Jika didapati berkesan, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lebih 200,000 unit akan dibeli oleh kementerian.

"Kit ujian dari Korea Selatan tiba lewat malam tadi. Pasukan kami masih menilai kit ujian berkenaan di Hospital Sungai Buloh [...]

"Jika ketepatannya baik, maka mungkin kita bersedia untuk pesan 200,000 (unit)," katanya pada sidang media di ibu pejabat kementerian itu di Putrajaya petang ini.

Ditanya mengenai kos, beliau mengakui tidak pasti berkenaan perkara itu tetapi menganggarkan antara AS$ 5 hingga AS$ 6 (RM21.64 - RM25.97 berdasarkan kadar pertukaran hari ini) bagi setiap unit.

Berdasarkan kadar pertukaran hari ini, 200,000 unit kit berkenaan akan menelan kos sebanyak RM5.194 juta.

Hisham juga berkata kementerian itu sedang menilai 100,000 kit ujian dari China yang telah diluluskan di Amerika Syarikat.

"Petang ini kami juga menerima 100,000 kit ujian dari China, (ia adalah) J=jenama berbeza daripada yang kita uji lebih awal.

"Kita juga akan cuba menguji kit ujian baru dari China [...]," katanya.

Malaysia berusaha melaksanakan secara meluas ujian Covid-19 selepas inisiatif itu terbukti berkesan di Korea Selatan bagi menghalang penularan Covid-19.

Malaysia berhasrat melakukan 16,500 ujian sehari, meningkat daripada kapasiti semasa iaitu sebanyak 7,000 ujian sehari.

Ujian berskala besar membolehkan petugas perubatan mengesan jangkitan lebih cepat, dengan pesakit diasingkan lebih awal dan mencegah penularan virus berkenaan kepada orang lain.

Ini membantu meratakan lengkungan bagi kes baru dan menghalang jangkitan berlaku secara tidak terkawal.

Lihat Komen
ADS