mk-logo
Berita
Hartawan sewa pesawat khas angkut 1.5j penutup mulut, PPE
Diterbitkan:  Mar 29, 2020 11:16 AM
Dikemaskini: 4:57 AM

Pengasas Country Heights Holdings Bhd Lee Kim Yew menyewa sebuah pesawat khas bagi membawa 1.5 juta penutup mulut dan hidung serta peralatan perlindungan peribadi (PPE) semalam.

Lee berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang berjalan hanyalah penyelesaian sementara dalam pertempuran melawan Covid-19.

Rakyat Malaysia akan memerlukan penutup mulut dan hidung serta peraturan ketat untuk mengelakkan penyebaran Covid-19 selepas tempoh PKP berakhir.

"Kami perlu kelengkapan penutup mulut dan hidung apabila melakukan perjalanan ke luar selepas PKP.

"Saya ingin mengumumkan selepas kerja keras selama 10 hari, saya telah menyewa pesawat khas untuk menerbangkan 1.5 juta penutup mulut dan hidung serta PPE," tulisnya di halaman Facebooknya.

Lee berkata beliau telah memulakan inisiatif yang dipanggil Bantu-bantu Malaysia, yang beribu pejabat di dewan Hotel Palace of the Golden Horses yang bertukar menjadi pusat pengedaran sementara.

"Memakai penutup mulut dan hidung merupakan langkah pencegahan terbaik untuk menghentikan penyebaran Covid-19. Jika ia menjadi undang-undang, maka mungkin ia adalah peluang untuk menggantikan lockdown (penutupan PKP)," kata Lee.

Penutup mulut dan hidung berfungsi menangkap titisan bendalir yang boleh mengurangkan peluang menjangkitkan virus kepada orang lain.

Sejak wabak Covid-19 mula menular di negara ini, penutup mulut dan hidung telah habis dijual di pasaran menyebabkan ketiadaaan bekalan.

Malaysia mempunyai enam pengeluar produk ini, tetapi mereka terhalang oleh kekurangan bekalan bahan mentah yang perlu diimport.

Sementara itu, China juga telah mendermakan satu lagi set peralatan perubatan kepada Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma) semalam.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah, sumbangan itu termasuk 100,000 alat ujian saringan Covid-19, 100,000 penutup mulut dan hidung N95, 500,000 topeng pembedahan, 50,000 PPE dan 200 ventilator.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS