Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKPD mungkin dilaksanakan di kawasan terpilih Selangor
Diterbitkan:  Mar 29, 2020 7:47 PM
Dikemaskini: 11:47 AM

Ada kemungkinan beberapa lokasi tertentu di Selangor akan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) seperti yang sedang berlaku di Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya mengenal pasti beberapa 'lokasi panas' di Selangor mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi.

"Jadi, kita kenal pasti ada satu atau dua zon di kawasan Selangor yang mungkin kita ambil tindakan seperti kita di Simpang Renggam," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Pada 26 Mac lalu, dua kawasan petempatan di Kluang, Johor dikenakan PKPD ekoran terdapat kes positif Covid-19 yang tinggi.

Hal itu diumumkan Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

kawasan itu ialah Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam.

Apabila PKPD dilaksanakan, ada peraturan ketat dikuatkuasakan seperti tiada pergerakan keluar masuk dari kawasan terbabit, penduduk tempatan atau pelawat tidak dibenarkan datang, semua aktiviti perniagaan dihentikan dan penduduk dibekalkan dengan makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pihak berkuasa juga akan membuka pangkalan perubatan (medical base) di kawasan PKPD.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 97 lagi kes positif baru Covid-19 direkodkan di Kluang hari ini dan daripada jumlah itu 81 adalah di Bandar Baru Dato’ Ibrahim Majid.

"Kes di mana melibatkan empat kluster Sri Petaling, 77 orang yang lain termasuk generasi kedua dan ketiga, kes luar dari Bandar Baru Dato’ Ibrahim Majid," katanya.

Menurut beliau lagi tiada kes kematian dicatatkan di kedua-dua kawasan berkenaan namun langkah PKPD akan diperketatkan selain operasi nyah kuman dilakukan.

Katanya ia akan disusuli pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk mengesan individu yang disyaki dan akan diarah menjalankan ujian.

Lihat Komen
ADS