Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pusat zakat, NGO terus tampil hulur sumbangan

Berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Itu kata-kata yang dapat digambarkan apabila pelbagai pihak tampil berkongsi rezeki bersama golongan memerlukan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19.

Selain bantuan menghasilkan pelindung muka buat petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Zakat dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan giat memainkan peranan memberi bantuan berupa makanan kepada masyarakat setempat.

Di KEDAH, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyediakan peruntukan tambahan RM9.7 juta untuk diagihkan kepada golongan sasar di negeri berkenaan, yang terkesan akibat lanjutan PKP selain sebagai persediaan menghadapi bulan Ramadan tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Syeikh Zakaria Othman dalam kenyataan berkata peruntukan yang diperkenan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah itu akan digunakan untuk menyediakan bekalan makanan dan memastikan rakyat tidak terputus bekalan.

Katanya, bekalan makanan tambahan itu akan diserahkan kepada 578 masjid seluruh negeri yang dijadikan Pusat Bekalan Makanan Fakir dan Miskin Zakat Kedah dan diagih menerusi tiga fasa iaitu fasa 1 pada awal April, fasa 2 pada pertengahan April (untuk persediaan awal Ramadan) dan fasa 3 pada awal Mei (sepanjang Ramadan hingga awal Syawal).

Sementara itu, di JOHOR Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Yong Peng mengambil inisiatif mengagihkan sayur dan buah-buahan secara percuma di beberapa kawasan perumahan di sekitar Yong Peng dan Ayer Hitam, sejak 21 Mac lepas.

Pengerusi persatuan itu, Cheng Tai Hoe ketika dihubungi berkata 500 bungkus sayur dan buah-buahan disediakan ahli persatuan berkenaan setiap hari mulai 8 pagi sebelum agihan dimulakan pada 10 pagi hingga kira-kira 12 tengah hari.

Menurut Cheng antara sayur yang diagih adalah terung, timun, cendawan, petola serta peria manakala buah-buahan pula ialah tembikai, betik, pisang, nanas, jambu serta buah naga.

Selain itu, di SABAH Persatuan Wanita Impian Sabah (WINS) di Kota Kinabalu, menggerakkan projek #familysurvivalkitforsabah bagi memberi kit makanan asas kepada golongan yang memerlukan sekitar bandar raya itu sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Pengerusinya, Mahira Bahar berkata inisiatif tersebut yang mendapat kerjasama Pertubuhan Muafakat Sabah itu dilaksana mulai semalam bertujuan membantu keluarga yang terputus bekalan makanan kerana tidak mempunyai sumber pendapatan untuk membeli barangan keperluan harian berikutan pelaksanaan PKP.

Setiap kit bekalan makanan bernilai RM50 yang mengandungi makanan asas seperti beras, minyak, tepung, telur, gula dan biskut, katanya.

Di MELAKA, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memperuntukkan zakat lebih RM3.64 juta dalam bentuk wang tunai dan bantuan makanan kepada golongan sasar di negeri ini yang terjejas akibat COVID-19 khususnya dalam tempoh PKP.

- Bernama

Lihat Komen
ADS