Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Salur segera, jangan tunggu sampai April - Pemuda Umno
Diterbitkan:  Mar 30, 2020 1:30 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mahu kerajaan segera menyalurkan bantuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diumumkan Jumaat lalu tanpa perlu menunggu sehingga hujung April

"Ramai yang mengadu kepada pihak Pemuda Umno Malaysia bahawa BPN perlu disegerakan tidak perlu tunggu sehingga penghujung April untuk disalurkan.

"Yang mana maklumat sudah sedia ada terutamanya di bawah kategori B40 seperti yang ada dalam senarai BSH dan BR1M terdahulu boleh terus disalurkan bantuan tersebut," katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej Pakej Rangsangan Ekonomi (Prihatin) bagi membantu rakyat berdepan situasi sukar ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

Pakej rangsangan bernilai RM250 bilion itu bertujuan untuk membantu rakyat segenap lapisan termasuk sektor perniagaan sekali gus merancakkan ekonomi negara ketika berdepan waktu sukar.

Melalui pakej Prihatin, Muhyiddin turut mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) iaitu pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan RM10 bilion.

Katanya, buat pertama kalinya bantuan akan turut disalurkan bukan sahaja kepada kumpulan B40 tetapi meliputi kumpulan M40. Mereka ini termasuk pekerja swasta, peneroka Felda, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, rakyat ramai yang susah apabila tak dapat keluar bekerja, tidak termasuk yang dicutikan tanpa gaji dan diberhentikan kerja.

Justeru, katanya, jangan sampai rakyat mengeluh pakej Prihatin hanya indah khabar daripada rupa.

Sementara itu, nada sama juga turut disuarakan Ketua Dewan Pemuda Ikatan, Shahir Adnan yang mahukan BPN disalurkan awal April ini.

"Pemuda Ikatan mencadangkan bantuan tersebut disalurkan pada awal bulan April dan akhir bulan April agar golongan B40 tidak terputus bekalan makanan.

"Penyaluran bantuan pada awal bulan April untuk meringankan beban mereka hilang punca pendapatan seawal 18 Mac, manakala penyaluran pada akhir bulan April sebagai bantuan memulakan kembali kehidupan seperti biasa selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Zahid: Mudahkan penyaluran bantuan

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan perlu memastikan kaedah dan mekanisme agihan serta penyaluran bantuan Prihatin jelas dan terperinci bagi memudahkan urusan rakyat.

Katanya, kerajaan perlu mengurangkan rintangan birokrasi bagi memastikan rakyat segenap lapisan menerima manfaat.

"Kaedah dan mekanisme agihan serta penyaluran bantuan setiap kementerian dan agensi terlibat perlu jelas dan terperinci bagi memudahkan rakyat berurusan.

"Database yang dimiliki oleh kerajaan berkaitan dengan penerima yang layak dan kategorinya perlu dipastikan benar-benar tepat dan terkini memandangkan jumlah penerima pada kali ini adalah amat besar," katanya dalam satu catatan di Facbooknya, hari ini.

Jelasnya, pembangkang juga perlu menyokong usaha kerajaan dalam membantu rakyat menghadapi situasi sukar kerana penularan wabak ini dan memastikan objektif Prihatin berjaya.

"Menjadi tanggungjawab kepada rakan-rakan di pihak pembangkang memberikan kerjasama dan dokongan kepada kerajaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 dan tidak mempolitikkan setiap usaha yang dilakukan kerajaan," katanya.

Lihat Komen
ADS