Ahli perniagaan sumbang RM170,000 bawa balik rakyat Malaysia dari India
Seorang lagi ahli perniagaan tampil menaja penerbangan khas untuk membawa pulang kira-kira 180 warga Malaysia yang masih terkandas di India akibat krisis wabak Covid-19.
Pengarah Urusan Plus Max Group S Prakadeesh Kumar menyumbang RM170,000 menyewa pesawat khas jenis Boeing 737-900 milik syarikat penerbangan Malindo Air.
"Kita sedang menghadapi situasi yang getir. Ramai membantu kepada yang memerlukan.
"Ini adalah satu sumbangan kecil daripada saya kepada mereka yang memerlukan bantuan," katanya dalam mesej ringkas kepada Malaysiakini.
Beliau turut menggesa rakyat Malaysia agar bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama dalam usaha memerangi ancaman wabak Covid-19.
Plus Max merupakan sebuah syarikat tempatan yang mengendalikan lebih 53 pusat beli belah bebas cukai di seluruh dunia.
Untuk rekod sehingga 28 Mac sehingga hari ini terdapat 3,616 rakyat Malaysia yang terkandas di 58 buah negara.
Jumlah tertinggi warganegara Malaysia yang masih terkandas di luar negara adalah di India sebanyak 1,988 orang.
Daripada jumlah itu, sejumlah 916 orang di Chennai, 523 orang di Trichy, 328 orang di New Delhi, 173 orang di Amritsar dan 48 orang di Mumbai.
Wisma Putra bersama MIC ketika ini mengambil langkah untuk membawa pulang mereka secara berperingkat.

