Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menafikan dakwaan bahawa bantuan yang disalurkan kementeriannya untuk pihak terjejas akibat Covid-19 perlu mendapat sokongan Umno terlebih dulu.

Kata Annuar, beliau terpaksa menjelaskan hal itu kerana ada ahli parlimen tertentu yang mendakwa bantuan tersebut perlu melalui Umno bahagian tertentu sebelum mendapat kelulusan.

"Semalam ada seorang ahli yang berhormat daripada parti tertentu, dia 'tweet' dalam Twitter. Dia kata yang bantuan RM500 diwajibkan dapat sokongan daripada Umno dan bahagian Umno.

"Saya terpaksa menjawab - itu fitnah dan tidak benar. Kementerian Kewangan ada bagi garis panduan bantuan-bantuan yang diumumkan ini bukan untuk dilaksanakan melalui jalur politik," katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun Annuar tidak mendedahkan identiti ahli parlimen yang dimaksudkannya.

Pada 25 Mac lalu, Annuar memaklumkam sebanyak RM63 juta diperuntukan bagi membantu warga Wilayah Persekutuan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 melalui inisiatif Wilayah Cakna.

Kena urus dengan tertib

Menurutnya usaha itu turut mendapat sokongan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta Yayasan Willayah Persekutuan.

Beliau berkata, bantuan akan diagihkan dalam pelbagai bentuk membabitkan tiga kluster.

Untuk penjaja dan peniaga kecil di Labuan pula, ahli parlimen Ketereh itu memberitahu, ada 1,300 orang yang disenarai untuk dibantu. Katanya, mereka kini boleh menghubungi Perbadanan Labuan untuk mendapatkan bantuan terbabit.

Hari ini pula, selaras dengan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) 2020 Annuar memaklumkan pihaknya membuat beberapa penyelarasan.

Antaranya, kata beliau, pengecualian bayaran sewan bulanan selama enam bulan bagi perumahan awam milik Perbadanan Labuan membabitkan 546 keluarga serta bantuan kepada penjaja termasuk bantuan one off dan pengecualian sewaan lot perniagaan milik Perbadanan Labuan selama enam bulan.

Dalam pada itu, Annuar memaklumkan segala sumbangan yang ingin disalurkan NGO ketika ini perlu melalui pusat pengurusan krisis (CMC) yang telah dibentuk.

Annuar berkata, beliau menyambut baik usaha murni badan bukan kerajaan untuk menyaluarkan bantuan yang membuktikan keprihatinan rakyat Malaysia.

"Segala-galanya mestilah diuruskan dengan cara tertib dengan cara sesuai dengan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Maka saya ingin memaklumkan telah dipersetujui supaya CNC yanng kita bentuk, pelbagai agensi bermesyuarat setiap hari menjadi focus point untuk menguruskannya," katanya.