SOP baru jika bazar Ramadan dibuka di KL - Annuar
Piawai prosedur operasi (SOP) yang baru akan diperkenalkan sekiranya bazar Ramadan dibuka di Kuala Lumpur, kata Annuar Musa.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, meskipun selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir, orang ramai dijangka tidak boleh terus bebas untuk berhimpun seperti biasa.
"Kita kena fikir pasca selepas 14 April, bukan bermakna boleh terus jadi bebas, terus boleh berhimpun.
"Malah kita terpaksa mengkaji bagaimana cara mengendalikan bazar Ramadan kalau nak buat, di sesetengah tempat tak buat langsung.
"Kalau nak buat, kena ada SOP baru (bazar Ramadan) tak boleh lagi cara biasa dan aspek-aspek yang lain kena mula rancang," katanya dalam satu sidang media hari ini.
Jelas Annuar selepas hampir dua minggu PKP, peningkatan terhadap jangkitan Covid-19 masih berlaku.
Malaysia melaksanakan PKP sehingga 14 April depan sebagai usaha bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.
Selaras dengan PKP sebarang perhimpunan dilarang dan kebanyakan premis kerajaan serta premis perniagaan tidak beroperasi seperti sedia kala.
Begitu juga dengan rumah ibadat termasuk masjid yang ditutup buat sementara waktu daripada sebarang aktiviti keagamaan bagi mengekang penularan wabak itu.
Selain itu beberapa negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu dan Kelantan telah mengumumkan bahawa tiada aktiviti bazar Ramadan sepanjang Ramadan nanti.
Umat Islam dijangka akan mula melaksanakan ibadah puasa sempena bulan Ramadan 24 April depan.
Dalam pada itu Annuar berkata kawasan zon merah Covid-19 meningkat daripada dua lokasi kepada tiga lokasi iaitu Cheras, Titiwangsa dan Kepong.
"Zon merah di Wilayah Persekutian hari tu ada dua zon, skrg ada tiga. Kementerian Kesihatan telah memaklumkan kawasan Cheras khususnya di Seputeh ada 226 kes dikategorikan sebagai zon merah.
"Kedua Titiwangsa, sebahagian besar kes di Kampung Baru dalam kawasan itu ada 64 kes, ketiga Kepong berlaku peningkat kes iaitu 75 kes.
"Ertinya, lebih 40 kes ditakrifkan sebagai zon merah dan inilah cabaran kepada kita warga wilayah persekutuan (Kuala Lumpur)," katanya.

