Rompak tiga kedai serbaneka: Penganggur dihukum penjara 10 tahun
Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini kerana merompak tiga kedai serbaneka di sekitar Lembah Klang dengan bersenjatakan sebilah parang.
Hakim Suraiya Mustafa Kamal menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Shafiq Mohamad, 25, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa merompak wang tunai RM100 milik 7-Eleven di Jalan Klang Lama pada 5.30 pagi 23 Jan lepas dan RM59.60 milik 7-Eleven di Sri Petaling pada 10.10 pagi 22 Julai 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Muhammad Shafiq juga didakwa bersama-sama individu yang masih bebas telah merompak RM618.80 milik My News.Com di Sungai Besi pada 6.35 pagi 16 Nov 2019 mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing tiga tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala bagi pertuduhan ketiga, dia dihukum penjara empat tahun dan satu sebatan serta memerintahkan tertuduh menjalani kesemua hukuman secara berasingan, yang bermula pada 6 Mac lepas.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan namun Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon supaya hukuman berjalan secara berasingan kerana kesalahan itu dilakukan pada tarikh, masa serta tempat berbeza dan merupakan kesalahan yang serius.
- Bernama

