KKM: Rakyat M'sia pulang dari luar negara mungkin dikuarantin di pusat khas
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan untuk mengenakan tindakan yang lebih tegas terhadap rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana terdapat individu seumpamanya yang tidak menjalankan kuarantin sukarela seperti ditetapkan.
"Ada (kes seumpamanya). Kita pun pasti, sebab kita telah pantau mereka. Ada yang balik (Dari luar negara) tapi masih keluar dari rumah lagi.
"Jadi mungkin kita akan lihat bagaimana kita dapat kuat kuasakan tindakan kita untuk pastikan mereka sama ada duduk di rumah atau kita akan tempatkan di tempat kuarantin khas yang disediakan oleh KKM," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Noor Hisham sebelum itu ditanya pemberitan sama ada kementerian ada mengesan sebarang kes rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara namun gagal mematuhi perintah kerajaan untuk kuarantin diri mereka di rumah untuk mengelakkan kemungkinan penyebaran Covid-19.
Terdahulu, beliau juga mengulangi nasihat kepada mereka yang kembali dari luar negara agar kurantin diri sendiri di rumah, termasuk mengasingkan diri daripada ahli keluarga mereka sendiri, sekurang-kurangnya 14 hari dari tarikh ketibaan, selain mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan tangan.
Menurut Noor Hisham, KKM bimbang gelombang ketiga Covid-19 di negara ini akan menyaksikan peningkatan dalam kes import.
Katanya, antara golongan yang dibimbangi menyebabkan penyebaran Covid-19 termasuklah rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara, seperti mereka yang meninggalkan negara semasa cuti sekolah awal bulan ini, dan pelajar yang belajar di luar negara.
Ditanya mengenai jumlah rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara semasa wabak Covid-19, Noor Hisham berkata beliau dimaklumkan bahawa Jabatan Imigresen mencatatkan kira-kira 10,000 pulang sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa pada 18 Mac.
"Selepas ia dikuatkuasakan, saya dimaklumkan oleh Jabatan Imigresen, jumlah itu adalah sekitar 4,000 sehari, semuanya adalah rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara," katanya.
Ketika diminta menjelaskan kenyataannya minggu lalu berkenaan sebuah kementerian yang meluluskan 8,000 kakitangannya untuk ke luar negara ketika cuti sekolah awal bulan ini, Noor Hisham berkata beliau tidak berhasrat untuk mendedahkan nama kementerian itu.
Menurut Hoor Hisham, beliau membangkitkan perkara itu minggu lalu kerana Kementerian Kesihatan bimbang terhadap kemungkinan penyebaran Covid-19 oleh mereka yang kembali dari luar negara.
"Tujuannya bukan untuk namakan kementerian itu. Kita tahu masa cuti ramai di kalangan kita...pergi melancong ke Indonesia, Jepun, Korea.
"Apabila mereka kembali, itulah kerisauan kita mereka bawa balik (Covid-19).
"Sebab itu kita laksanakan persiapan dan perintah kawalan pergerakan. Bila mereka pulang, mereka kekal di rumah," katanya lagi.


