Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UiTM jamin nasib 8,500 penuntutnya terpelihara, makanan peruma sepanjang PKP

Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberi jaminan bahawa penuntut yang tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akan menerima bantuan makanan secukupnya malah diberi secara percuma.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM Profesor Dr Azizan Abdullah berkata bantuan makanan tiga kali sehari itu diberikan kepada sejumlah 8,500 penuntut yang masih berada di 35 kampusnya di seluruh negara sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

“Bantuan makanan diberikan kepada semua penuntut sama ada menetap di dalam mahupun luar kampus. Malah UiTM juga menyediakan khidmat perubatan dan kaunseling bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara, jadi ibu bapa tidak perlu berasa bimbang,” katanya.

Beliau turut menggalakkan lebih 800,000 alumni UiTM agar menyumbang kepada Tabung Bantuan Pelajar Covid-19 universiti itu bagi menampung kos penyediaan makanan kepada penuntut terbabit yang terpaksa tinggal di kampus sehingga PKP berakhir pada 14 April ini.

Selain sumbangan kewangan, alumni serta orang ramai boleh membantu UiTM melalui pemberian barangan makanan untuk diagihkan kepada penuntut yang memerlukan.

Azizan berkata barangan itu boleh dihantar terus ke pusat pengumpulan makanan di Kolej Mawar dan Pusat Khidmat Pelajar UiTM bagi kampus di Shah Alam manakala untuk negeri lain, orang ramai boleh menghubungi kampus terlibat.

Alumni serta orang awam yang ingin menyumbangkan dana kepada Tabung Bantuan Pelajar Covid-19 UiTM boleh berbuat demikian menerusi akaun Affin Bank Bendahari UiTM 1051-4000-3422.

-Bernama

Lihat Komen
ADS