Covid-19: PUI di Hospital Labuan dipindahkan ke pusat kuarantin
Semua pesakit di bawah siasatan (PUI) yang dikuarantin di Hospital Labuan telah dipindahkan ke pusat kuarantin yang baru dibuka di Institut Latihan Industri mulai hari ini.
Sekurang-kurangnya 30 PUI telah dipindahkan ke pusat baharu itu secara berperingkat sejak pukul 2.30 petang.
Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata pasukan perubatannya hanya bertanggungjawab terhadap rawatan terhadap pesakit, manakala Angkatan Pertahanan Awam bertanggungjawab menguruskan fasiliti yang disediakan, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bertangungjawab terhadap penyediaan makanan buat pesakit.
Pusat kuarantin itu boleh memuatkan sekurang-kurangnya 168 pesakit, katanya.
Beliau berkata institut itu dipilih sebagai pusat kuarantin disebabkan kedudukannya yang strategik dan hampir, yakni hanya bersebelahan dengan Hospital Labuan.
“Kami sedang berusaha memindahkan PUI yang dikuarantin di rumah masing-masing ketika ini, ke pusat ini, supaya petugas perubatan kami boleh memantau keadaan mereka dengan lebih baik,” katanya.
Ismuni berkata jumlah mereka yang dikuarantin di rumah telah berkurangan dengan ketara kepada kira-kira 400 orang ketika ini berbanding 1,000 orang sebelumnya.
-Bernama

