Exco Melaka nafi jawatankuasa masjid dipaksa bayar duit pada pegawai khasnya
Exco negeri Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen telah menyangkal tuduhan yang mengatakan beliau memaksa jawatankuasa masjid di DUN Paya Rumput untuk memberikan wang kepada pegawai khasnya.
Dalam hantaran Facebook petang tadi, Adun Paya Rumput itu berkata bahawa dakwaan yang disebarkan menerusi hantaran atas talian itu adalah fitnah terhadap beliau dan yang lain.
Ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu juga mencabar pihak yang menyebarkan dakwaan itu tidak berselindung di sebalik "akaun palsu" dan sebaliknya tampil melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Anggota parti Bersatu itu juga menjelaskan dakwaan tersebut muncul selepas banyak masjid di kawasan DUN enggan menggunakan dana dalam kewangan mereka untuk membantu rakyat ketika pandemik Covid-19.
Menurutnya, satu mesyuarat dengan semua pengerusi/wakil pengerusi masjid DUN Paya Rumput telah diadakan di Seri Negeri, di pejabatnya.
Kebanyakan masjid melaporkan bahawa kewangan masjid mencecah hampir RM30,000 dan ada masjid melaporkan kewangan mencecah RM85,000 dan ada yang mencecah lebih RM100,000.
Rafiq berkata selaras dengan saranan dan galakan dari Pejabat Mufti dan MAIM, dia membincangkan penglibatan masjid untuk sama-sama membantu kariah masing-masing untuk menghadapi Covid-19 memandangkan bantuan diberikan Japerun dan kerajaan negeri Melaka semata-mata tidak mencukupi.
Katanya, dalam mesyuarat tersebut diputuskan bahawa bantuan barang makanan bernilai RM 32.50 satu pek (belian secara pukal - harga pasaran RM 35.00-RM 38.00) diselaraskan oleh pegawainya dengan Mydin Hypermarket.
Tambahnya, pihak masjid diberi kebebasan untuk membeli sendiri jika mampu mendapat harga yang sama murah dengan Mydin Hypermarket seperti Masjid Kampung Paya Rumput dan jumlah bantuan juga dibincangkan dan diputuskan berdasarkan kedudukan kewangan masing-masing serta dipersetujui ahli mesyuarat.
"Walaupun sudah dibincangkan dalam mesyuarat, ada sebahagian AJK masjid tak berpuas hati menghubungi saya dan ingkar memberi sumbangan seperti diputuskan.
"Mereka memberi alasan tidak ramai yang layak menerima bantuan walaupun pada saya ada lebih 5,000 senarai yang memohon terdiri daripada (orang) miskin dan golongan B40. Selepas itu poster fitnah itu menjadi tular," katanya.
Kata Rafiq, ada masjid dalam DUN Paya Rumput yang wang terkumpul hampir RM90,000 menghubunginya dan memberitahu mereka mahu membantu 100 pek makanan (kos keseluruhan RM RM3250) dalam kariahnya.
"Sikap kedekut sesetengah AJK masjid ini amat mengecewakan dan menyebabkan cerita-cerita seperti terdapat segelintir umat Islam terpaksa ke gereja mendapatkan sumbangan.
"Cukup-cukuplah memfitnah Saya. Saya ikhlas berkhidmat dan membantu rakyat menghadapi Covid-19 kerana Allah SWT. Saya tidak dapat satu sen pun keuntungan dari usaha ini.
"Kepada Allah saya berserah dan saya harap mereka yang memfitnah saya diberi petunjuk Allah," katanya.

