Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tempoh kawalan pergerakan bergantung pada pematuhan

Telah ‘berbuih mulut’ pihak berkuasa menasihati rakyat agar duduk di rumah dan tidak kurang juga ada yang telah didakwa di mahkamah kerana mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan (PKP), namun masih ramai yang degil dan bersikap keras kepala.

Ahad lalu saja seramai 828 individu ditahan dalam rondaan dan sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak berkuasa. Ia menunjukkan masih ramai yang bersikap degil untuk mematuhi arahan mudah kerajaan bagi mengelakkan krisis Covid-19 ini berpanjangan.

Pelbagai alasan tidak munasabah diberikan, termasuk ingin meminjam rokok daripada rakan, membeli makanan (walaupun jauh dari kawasan rumah), mengail, dan tidak kurang juga keluar beriadah menyebabkan pihak berkuasa 'tepuk dahi’ dengan sikap segelintir rakyat Malaysia ini.

Tanpa disedari sikap degil inilah menyebabkan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan penyakit Covid-19 berdepan jalan sukar. Sehingga semalam, virus itu mengorbankan 37 orang dengan jumlah terkumpul kes positif menjadi 2,626 kes.

Ia memaksa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas termasuk mengenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di kawasan zon merah yang dikenal pasti mempunyai bilangan kes positif tinggi.

Terbaru - iaitu kawasan ketiga yang dikenakan PKPD - ialah menara City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur, kerana dikesan mempunyai 17 kes positif jangkitan Covid-19.

Sebelum ini Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baru Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor serta kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor dikenakan tindakan sama.

Hari ini masuk hari ke-14 pelaksanaan PKP, namun bilangan kes positif yang masih tinggi menyebabkan kerajaan tiada pilihan selain mengetatkan lagi peraturan menjelang fasa kedua pelaksanaan PKP pada esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob semalam berkata mulai Rabu ini semua premis perniagaan yang menjual barangan keperluan harian - termasuk pasar raya serta stesen minyak - hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga pukul 8 malam.

Gerai dan restoran serta perkhidmatan penghantaran makanan juga perlu beroperasi pada waktu yang sama dalam tempoh fasa kedua itu, malah waktu operasi kenderaan juga akan dikawal.

Ini semua terpaksa dilakukan demi kebaikan rakyat Malaysia sendiri dan untuk membendung ledakan gelombang ketiga Covid-19 ekoran sikap tidak acuh segelintir rakyat negara ini.

Sebagai persiapan untuk menghadapi gelombang ketiga itu juga, kerajaan menyediakan pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan mendadak jangkitan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS