Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kalau Kanada boleh buat, mengapa tidak Malaysia?

ULASAN | Kita akur bahawa Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion bermatlamat untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi dalam menghadapi kesan wabak Covid-19.

Prihatin menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung rakyat. Justeru, ramai yang menarik nafas lega dengan pakej Prihatin yang diumumkan perdana menteri.

Saya fikir janganlah mudah ketepikan teguran mengenai perlunya pakej Prihatin dibawa ke parlimen untuk dibahaskan. Ini bukan teguran pihak atau individu tertentu sahaja. Ini adalah teguran masyarakat sivil yang prihatin dengan kedaulatan undang-undang (rule of law).

Kalau sesuatu teguran itu dibuat dengan maksud mahu membetulkan usaha kerajaan, kenapa tidak? Putrajaya harus memiliki keterbukaan untuk menerima teguran yang membetulkan kekhilafan.

Di mana khilafnya pakej Prihatin?

Khilafnya ialah pada suntikan fiskal langsung berjumlah RM25 bilion. Sememangnya ia membantu dan memberi manfaat langsung kepada golongan sasaran yang terkesan dengan wabak Covid-19.

Betul, ia peduli rakyat. Tapi ia bukan alasan untuk tidak peduli undang-undang.

Kehadiran mininum ahli parlimen

Oleh kerana RM25 bilion itu suntikan fiskal, ia perlu dibahaskan sebab parlimen perlu tahu sumber suntikan itu. Perkara 104 Perlembagaan Persekutuan menyebutkan bahwa tiada wang boleh diambil keluar daripada Kumpulan Wang Disatukan (Consolidated Fund) melainkan jika wang itu - antaranya - dibenarkan untuk dikeluarkan melalui Akta Perbekalan (Supply Act), iaitu selepas belanjawan negara diluluskan; atau dibenarkan untuk dikeluarkan di bawah Perkara102 atas “sebab hal keadaan yang luar biasa keterdesakannya” (circumstances of unusual urgency).

Lainlah kalau sumber suntikan fiskal itu adalah “daripada apa-apa pinjaman yang diperdapatkan” oleh kerajaan Persekutuan bagi maksud tertentu [Perkara 99(3)].

Itupun sekiranya ada undang-undang “yang membenarkan pinjaman itu diperdapatkan.”

Sebab itu perlu dibawa ke parlimen agar kita dimaklumkan mengenai sumber suntikan fiskal berkenaan.

Justin Trudeau

Barangkali kita - dan kerajaan yang ada keterbukaan - boleh menoleh ke Kanada. Ceritanya sudah tersebar luas di media. Parlimen Kanada yang tertangguh dek wabak Covid-19 pada Mac 13 yang lalu telah dipanggil untuk persidangan khas oleh speaker di bawah Aturan Mesyuarat 28(3) dewan parlimennya.

Aturan Mesyuarat 28(3) Kanada lebih kurang sama dengan Aturan Mesyuarat 11(3) Dewan Rakyat yang membolehkan perdana menteri memohon kepada yang yang dipertua untuk memanggil sidang khas Parlimen atas sebab kepentingan awam.

Tidak perlu notis 14 hari atau seumpamanya.

Oleh kerana Parlimen Kanada memerlukan korum seramai 20 anggota (termasuk speaker), ketua-ketua parti politik dalam parlimen telah bersetuju agar ia bersidang dengan hanya kehadiran lebih kurang 30 orang ahli demi meluluskan undang-undang yang bermaksud untuk memberi suntikan fiskal kepada rakyat Kanada.

Kesepakatan dalam jumlah kehadiran ahli yang sebanyak itu bukan sahaja membolehkan parlimen bersidang secara sah pada Mac 24 - hanya dua hari selepas Perdana Menteri Justin Trudeau memaklumkan akan memohon agar sidang khas dipanggil - ia juga membolehkan parlimen mematuhi penjarakan sosial di dalam dewan.

Walaupun sidang ditangguhkan sebaik ia bermula, Parlimen Kanada akhirnya meluluskan juga undang-undang yang mengesahkan pakej rangsangan bernilai C$107 bilion, termasuk suntikan fiskal sebanyak C$52 bilion untuk rakyat dan syarikat Kanada.

Nah, kalau Kanada boleh buat, kenapa tidak Malaysia?

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan halangan kerana di bawah Perintah 3(1)(e) Ketua Pengarah Kesihatan boleh mengecualikan pergerakan "bagi apa-apa maksud khas".

Tidak bolehkah pengecualian diberikan kepada sidang khas parlimen demi meluluskan perbelanjaan untuk membantu dan melindungi rakyat?

Kalau pegawai kewangan boleh dikecualikan untuk ke pejabat untuk menguruskan penggajian para pekerja, kenapa tidak anggota parlimen?


HAFIZ HASSAN ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini. 

Lihat Komen
ADS