Pekerja industri minyak dan gas yang bertugas di pelantar perlu melalui saringan kesihatan yang ketat sebelum dibenarkan pulang ke rumah atau sebelum ke lokasi bekerja, kata Ketua Polis Terengganu, Roslee Chik.
Menurut beliau, pihaknya melakukan perbincangan dengan majikan syarikat yang terbabit dalam industri tersebut dan kelonggaran diberikan kepada mereka bagi pergerakan terhad sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
"Selepas perbincangan tersebut kita bersetuju untuk beri sedikit kelonggaran kepada pekerja yang bertugas di pelantar minyak. Tetapi, mereka yang selesai bertugas dikehendaki melakukan saringan kesihatan.
"Bagi mereka yang benar-benar sihat sahaja akan dibenarkan untuk melakukan pergerakan pulang ke rumah masing-masing. Mereka perlu patuhi prosedur yang kita tetapkan.
"Setiap kali pulang atau mahu ke pelantar mereka perlu jalani saringan kesihatan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu notis arahan dikeluarkan polis Terengganu berhubung larangan pergerakan melibatkan pekerja-pekerja pelantar minyak.
Notis tersebut tular melalui aplikasi grup WhatsApp khususnya dalam kalangan pekerja-pekerja industri berkenaan.
Notis yang dikenali sebagai 'borang kod utusan polis' itu menyatakan pihak Bukit Aman mengarahkan pekerja-pekerja pelantar minyak yang selesai tugas tidak dibenarkan pulang ke negeri-negeri masing-masing dalam tempoh PKP.
Selain itu, majikan seharusnya menyediakan penginapan dan lain-lain kemudahan kepada mereka sepanjang tempoh tersebut berkuatkuasa.
Sementara itu mengulas lanjut Roslee berkata, pihaknya menyedari kelonggaran itu perlu diberikan bagi memberi peluang kepada mereka untuk bertemu keluarga setelah berada di lautan untuk jangka masa tertentu.
"Kita ambil kira soal kebajikan mereka, dua minggu berada di pelantar tak jumpa keluarga. Takut timbul isu lain seperti tekanan, kemurungan dan sebagainya. Jadi kita bagi kelonggaran dengan pematuhan dan pemantauan yang ketat.
"Langkah yang kita ambil ini sebagai langkah berjaga-jaga, kita bimbang sekiranya mereka pulang dalam keadaan tidak sihat atau mempunyai simptom tertentu dan membawa risiko kepada orang lain," katanya.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
