Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKP: Kawalan di laluan masuk perairan Sabah diperketat

Kawalan di laluan pintu masuk perairan negeri Sabah dipertingkat khususnya di daerah Tawau, bagi mengekang penyeludupan masuk melalui ‘jalan tikus’ ke negeri itu ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata langkah itu termasuk memantau secara rapat kemasukan jemaah tabligh di Sabah yang difahamkan masih berada di Indonesia.

"Oleh itu, saya menasihatkan agar kumpulan tabligh berkenaan berhubung terus dengan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekiranya mereka mahu kembali ke negeri ini.

"Kita bukan sahaja mengekang pergerakan dari pulau-pulau tapi kumpulan tabligh yang sedia ada di Indonesia itu, mereka akan kembali ke Sabah," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu, hari ini.

Baru-baru ini, sebanyak 24 individu daripada kumpulan tabligh yang menyertai Program Ijtimak Dunia Zon Asia 2020 di Sulawesi, Indonesia dikuarantin di pusat kuarantin daerah Tawau.

Sementara itu, mengulas pergerakan di seluruh perairan Sabah, khususnya Tawau sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, Mohamad Pajeri berkata setakat ini tiada sebarang cubaan masuk secara haram dilaporkan.

Beliau berkata PPM dan Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia (APMM) berkerjasama rapat untuk mengawal sebarang pergerakan di Sabah termasuklah baki penghantaran bot kumpit di beberapa lokasi perairan negeri ini.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS