Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: UMK keluarkan 9 garis panduan untuk pelajar dan staf

Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengeluarkan sembilan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh staf dan pelajarnya menerusi Pekeliling Pentadbiran dan Garis Panduan bagi Fasa Penularan Wabak dan Fasa Pasca Penularan Wabak selaras dengan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Naib Canselor UMK Prof Dr Noor Azizi Ismail berkata pengurusan universiti melalui Pejabat Pendaftar mengambil pendekatan itu bagi menjamin keselamatan dan kesihatan warga UMK.

“UMK turut mengeluarkan pelbagai notis bagi mengambil kira situasi semasa yang berlaku, malah melalui panduan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), UMK telah menyediakan ‘scenario planning’ dan menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa menerusi platform Portal Rasmi Covid-19 UMK yang boleh dilayari di http://www.umk.edu.my/covid19.

“Semua warga UMK diminta sentiasa mengambil cakna mengenai hebahan yang disampaikan oleh Pengurusan Universiti sebagai panduan dan mengambil langkah kawalan seperti disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sepanjang tempoh PKP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Azizi berkata, beliau turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga UMK yang sentiasa memberikan kerjasama dan dedikasi kepada barisan hadapan fasiliti kesihatan dalam mengatasi penularan wabak Covid-19.

“Pensyarah dan penyelidik UMK turut terlibat dalam menyumbang kepakaran masing-masing untuk memberi sumbangan kepada negara ketika musim penularan wabak ini dengan menghasilkan cecair pembasmi kuman selain set Peralatan Perlindungan Diri (PPE) serta set pelindung muka kepada petugas barisan hadapan,” katanya.

Noor Azizi juga berkata UMK melancarkan Tabung Covid-19 bermula 25 Mac lepas bagi membantu kakitangan dan pelajar yang terkesan sepanjang tempoh PKP.

“Sumbangan berkenaan bagi menampung keperluan dana pengurusan kawalan dan pencegahan yang diperlukan oleh barisan hadapan pengurusan universiti yang gigih menguruskan Kelab Covid-19.

“Oleh itu, sumbangan warga UMK sama ada besar atau kecil amat bermakna bagi membantu universiti dan meringankan beban mereka yang terkesan dengan wabak ini,” katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS