Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Arab Saudi minta umat Islam tangguh persiapan haji, umrah
Diterbitkan:  Apr 1, 2020 11:45 AM
Dikemaskini: 5:33 AM

  • Dikemas kini: Malaysia akur pendirian Arab Saudi.

Kerajaan Arab Saudi meminta umat Islam supaya menangguhkan sebarang persiapan untuk menunaikan haji dan umrah sehingga perkembangan lebih jelas berkaitan penularan wabak Covid-19.

Menteri Haji dan Umrahnya, Mohammed Saleh Benten berkata kepada stesen televisyen Al-Ekhbariya, bagaimanapun Arab Saudi dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk menerima jemaah haji dan umrah.

"Tetapi keadaan semasa ketika kita bercakap mengenai pandemik global, kerajaan mahu melindungi kesihatan umat Islam serta rakyat.

"Oleh itu, kita meminta umat Islam di semua negara untuk menunggu sebelum melakukan haji sehingga keadaannya jelas," kata Mohammed menurut laporan Reuters.

Pada awal bulan lepas, Arab Saudi menghentikan kemasukan jemaah haji atau umrah untuk sepanjang tahun ekoran kebimbangan terhadap penularan Covid-19 ke bandar-bandar suci Islam itu.

Ia satu langkah yang julung kali terjadi, sekali gus menimbulkan ketidakpastian berhubung ibadat haji untuk tahun ini.

Pembatalan musim haji tidak pernah berlaku sebelum ini, namun langkah mengehadkan kehadiran dari kawasan berisiko tinggi pernah dilaksana ketika wabak Ebola menyerang wilayah itu.

Kira-kira 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia biasanya berkumpul di Mekah dan Madinah untuk ibadat yang dijadualkan bermula pada akhir bulan Julai.

Selain menangguhkan haji dan umrah, Arab Saudi juga menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk dan serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Mekah dan Madinah.

‘Niat baik, mudah-mudahan dapat pahala’

Susulan perkembangan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, Malaysia akur pendirian Arab Saudi yang menggesa umat Islam menangguhkan rancangan menunaikan haji sehingga wabak Covud-19 dapat dikawal.

Ahmad Marzuk Shaary 

Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu terpulang kepada Arab Saudi kerana mereka lebih memahami keadaan di sana.

"Bagaimanapun kita akan mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa kebarangkalian terdapat pengumuman lain selepas ini. Saya berharap umat Islam yang berhasrat dan sudah membuat persiapan boleh menerima keputusan ini dan bersabar.

"Mudah-mudahan mereka (bakal jemaah haji) juga dikira sebagai orang yang mendapat ganjaran pahala kerana sudah mula dengan niat baik, namun terdapat halangan tertentu.

"Biasanya, mereka yang bakal menunaikan ibadat haji tahun ini sudah dimaklumkan awal dan sudah mendapat surat untuk persediaan,” katanya seperti dilaporkan BH Online, hari ini.

Lihat Komen
ADS