Data yang dikumpul oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan tanda awal bahawa perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membendung penyebaran Covid-19 berkesan, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam sidang medianya hari ini di Putrajaya, Ketua Pengarah Kesihatan itu menjelaskan bahawa trajektori jumlah kes positif Covid-19 adalah lebih rendah daripada yang telah diunjurkan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Sambil menunjukkan kepada pemberita carta perbandingan trajektori kes sebenar dan unjuran MIER, Noor Hisham berkata unjuran MIER meramalkan kenaikan mendadak berterusan dalam bilangan kes baru, yang sebaliknya tidak berlaku."

"Jika kita melihat garis merah, itu adalah unjuran oleh MIER, yang meramalkan kenaikan mendadak, tetapi kami telah mengambil tindakan selama dua minggu PKP, dan anda dapat melihat garis biru (trajektori jumlah kes sebenar).

"Jadi, kita idak mempunyai kenaikan mendadak, tetapi garisnya agak landai.

"Ini merupakan petanda awal bahawa tindakan kita di bawah PKP sedang memberi kesan," katanya.

Kerajaan memperkenalkan PKP sebagai usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini dengan memastikan orang awam tinggal di rumah, kecuali bagi mereka yang terlibat dalam perkhidmatan penting.

Inisiatif ini pada mulanya ditetapkan selama dua minggu dari 18 Mac hingga 31 Mac, tetapi telah dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 14 April ini.

MIER baru-baru ini menghasilkan unjuran untuk kes-kes Covid-19 di negara ini, dengan meramalkan bahawa akan terdapat 4,087 kes positif pada 31 Mac, dengan jumlah kes baru bakal meningkat pada minggu terakhir Mac dari 236 sehari kepada 399 pada hari terakhir bulan itu.

Bagaimanapun, rekod KKM menunjukkan bahawa bilangan kes positif setiap hari kebanyakannya di bawah 200 kes kecuali sekali pada 26 Mac, yang mencatatkan 235 kes baru.

Jumlah kes positif yang direkodkan oleh KKM pada 31 Mac adalah 2,766, iaitu 1,321 kes lebih rendah daripada yang diramalkan oleh MIER.

Noor Hisham mengaitkan pencapaian itu dengan usaha bersama yang dijalankan oleh semua agensi yang terlibat dalam menguatkuasakan PKP.

Beliau berkata KKM berharap fasa kedua PKP, yang bermula hari ini, akan menyaksikan peningkatan dalam strategi mereka terutama di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas Covid-19.

"Dua minggu akan datang adalah sangat penting untuk menunjukkan bahawa semua usaha kerajaan setakat ini berfungsi dengan baik dan memberikan kesan yang diharapkan," tegas Noor Hisham.

Menurutnya, mereka akan memantau semua lokasi terutama titik panas, dan melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di kawasan itu jika terdapat peningkatan mendadak dalam jumlah kes.

Sementara itu, semasa sidang medianya hari ini, Noor Hisham juga mengumumkan bahawa kementerian mencatat jumlah tertinggi pesakit Covid-19 yang telah pulih sepenuhnya dan keluar hospital setakat ini.

Beliau berkata setakat tengah hari tadi, 108 pesakit Covid-19 telah pulih dan dikeluarkan dari hospital di seluruh negara dalam tempoh 24 jam.

Ini menjadikan bilangan keseluruhan pesakit yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 645 kes atau 22.2 peratus daripada jumlah kes yang direkodkan di negara ini.