Malaysia sasar sedia 1,400 ventilator untuk rawat pesakit Covid-19
Malaysia menjangkakan akan mempunyai lebih daripada 1,400 unit bantuan pernafasan atau ventilator sebagai persiapan merawat pesakit Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata buat masa ini, hospital awam mempunyai sejumlah 219 ventilator dan 68 lagi dipinjam daripada sektor swasta.
Bagaimanapun, Noor Hisham berkata jumlah tersebut akan meningkat kepada 487 unit selepas Beijing menyumbangkan 200 ventilator kepada kerajaan Malaysia.
Tambah Noor Hisham, sebanyak 956 lagi unit telah diperoleh dan menjadikan jumlah unit ventilator sedia ada 1,443.
"Lebih banyak ventilator akan diperolehi dan akan dihantar kepada kita dalam minggu ini," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Kerajaan sebelum ini menyasarkan memperoleh 800 unit ventilator.
Ventilator adalah penting dalam memastikan kadar kematian pesakit postif Covid-19 kekal rendah.
Setakat tengah hari tadi, sebanyak 142 kes jangkitan baru dilaporkan, yang membawa jumlah keseluruhan sebanyak 2,908 kes.
Dari kes-kes yang positif, 66 pesakit Covid-19 bergantung kepada ventilator.
Malaysia terus menyaksikan pertambahan kes jangkitan Covid-19 baru harian yang konsisten, namun bukan pada kadar yang pesat.
Di negara-negara yang kesnya meningkat secara mendadak, sistem kesihatan yang ada di negara berkenaan tidak dapat menampung kenaikan kes tersebut.
Malah, sesetengah doktor terpaksa memilih pesakit untuk dipasangkan ventilator dan ada juga yang terpaksa berkongsi alat bantuan penafasan itu.
Pada 24 Mac lalu, Noor Hisham berkata, mereka berharap dapat mengelakkan peningkatan jumlah kes, yang boleh membawa kepada kebanjiran kes di hospital.
Jika sampai tahap itu, katanya, tidak mustahil jika doktor perlu memilih pesakit yang perlu diutamakan dalam soal peralatan perubatan.
"Kebimbangan kita adalah jika ada peningkatan (kes), maka kita perlu pilih pesakit mana (untuk gunakan ventilator). Kami harap tak akan sampai ke tahap itu," katanya.

