Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Fasa kedua perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 1 April dan berakhir pada 14 April nanti. Kerajaan, masyarakat dan negara perlu memikirkan bagaimana untuk memulakan semula operasi harian tanpa mengakibatkan gelombang baharu jangkitan virus Covid-19.

Kerajaan, melalui perdana menteri, harus berjanji untuk mencuba sedaya termampu supaya PKP tidak disambung ke fasa ketiga. Kejujuran dan ketelusan dalam hal ini adalah amat penting.

Dengan keadaan vaksin hanya mungkin terhasil 12 ke 18 bulan lagi, langkah untuk kembali beroperasi selepas empat minggu strategi PKP yang menyekat tidak bermakna kita boleh kembali menjalani hidup seperti sedia kala sebelum PKP dilaksanakan.

Orang ramai perlu dimaklumkan bahawa apa yang seharusnya berlaku dan apa yang perlu kita lakukan bersama ialah memastikan Malaysia boleh kembali beroperasi pada 15 April, walaupun berhadapan kelaziman baharu.

Pertama, uji, uji dan uji

Fasa kedua PKP haruslah berlegar seputar ujian demi ujian.

Strategi membendung dan menyekat melalui PKP adalah bertujuan untuk melengah-lengah bagi mengelakkan peningkatan kes secara mendadak yang akan mengakibatkan runtuhnya sistem kesihatan negara, seperti yang terjadi di Itali.

Tetapi tanpa memperluaskan pencarian dan ujian secara besar-besaran, kita masih tidak tahu berapa ramai di luar sana yang menyebarkan virus ini pada saat dan ketika PKP berakhir kerana mereka tidak dapat kita asingkan untuk rawatan.

Perincian mengenai ujian ini sepatutnya dikongsi dalam sidang media harian Ketua Pengarah Kesihatan. Setiap hari rakyat Malaysia wajar diberitahu jumlah ujian yang telah dilakukan, terutamanya jejak angka jangkitan ILI/SARI dalam masyarakat setempat.

Menurut laman web Kementerian Kesihatan, setakat tengahari 31 Mac, 40,483 orang telah diuji, 2,766 positif, 29.498 negatif, manakala 8,219 belum diketahui.

Secara ideal, kita seharusnya menguji lebih 300,000 orang atau 1% daripada populasi Malaysia menjelang 14 April. Ini sejajar dengan sasaran Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah untuk menguji 16,000 orang bermula bulan April. Kita telah menguji 40,000 orang; jika kita menguji 16,000 orang sehari bermula 1 April, kita boleh mencapai 224,000 orang lagi. Sasarannya wajar melebihi 300,000 dan diperluas secara dinamik.

Hospital swasta, hospital tentera dan mungkin beberapa klinik swasta boleh dilibatkan untuk menjalankan ujian ini, contohnya mengadakan pusat ujian pandu-lalu seperti yang telah dibuat di Korea.

Pihak polis juga wajar dilibatkan untuk menjalankan tugas menjejak kontak rapat.

Ujian mestilah dijadikan keutamaan nombor satu untuk jangka masa dua minggu akan datang, biar apa pun caranya. Tidak guna kita lakukan perkara lain kalau hal ujian dan pencarian tidak dilakukan dengan betul. Tanpa ujian secara besar-besaran, kita tersekat dalam keadaan ‘tidak tahu apa yang kita tidak tahu’.

Kedua, memperkukuh barisan hadapan dan hospital

Kita mesti memperkukuh sistem kesihatan dan hospital bagi melindungi barisan hadapan sebelum kita beroperasi semula.

Kementerian Kesihatan wajar dipuji atas perancangan untuk mewujudkan lebih banyak katil hospital untuk berdepan Covid-19.

Menurut Dr Noor Hisham, kementerian terlebih dahulu telah merancang untuk mewujudkan 3,400 katil tambahan tetapi sekarang bersedia untuk menggunakan kesemua institut latihannya bagi memuatkan pesakit Covid-19, yang akan menyediakan tambahan 19,200 katil.

Apa yang tidak dapat dipastikan ialah sama ada wujud perancangan jelas untuk menambah bilangan alat bantuan pernafasan dan katil Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada pengalaman global, alat bantuan pernafasan dan katil ICU adalah amat penting dalam memerangi Covid-19.

Rakyat Malaysia pastinya ingin tahu bilangan alat bantuan pernafasan baharu yang telah diperolehi kerajaan baru-baru ini dan bilakah ia akan dihantar ke hospital-hospital; dan berapa banyak alat bantuan pernafasan yang dimiliki hospital swasta yang boleh dikerah untuk kegunaan awam bagi melawan Covid-19.

Daripada penglibatan pasukan saya serta teman-teman dengan hospital di Lembah Klang dan Johor, diberitakan kebanyakan hospital masih tidak mempunyai bekalan pakaian pelindungan diri (PPE), serta topeng muka dan cecair pembersih kuman yang mencukupi. Saya amat bimbang.

Ketiga, topeng muka dan pembasmi kuman

Kita perlu memastikan perawat barisan hadapan mendapat akses topeng muka mendahului orang lain. Ini adalah mesej Kementerian Kesihatan sejak sekian lama yang tidak dibantah.

Tetapi jika kita akan membuka tempat-tempat perniagaan, sekolah dan tempat kerja pada 15 April, dan memandangkan wujud ramai pembawa gejala; orang ramai mungkin perlu membawa topeng muka dan menggunakannya apabila perlu, contohnya ketika menggunakan pengangkutan awam bersama individu lain yang bukan keluarga, atau ketika bekerja sebagai penyambut tetamu di mana seseorang pasti terpaksa berhubung rapat dengan ramai klien setiap hari.

Idealnya, kita akan memerlukan lebih banyak topeng muka. Kerajaan wajar menjalankan kerahan penghasilan topeng muka seperti ‘waktu peperangan’ supaya topeng-topeng ini boleh dihasilkan dalam negara, selain yang dihasilkan di luar negara, terutamanya China.

Sama juga halnya dengan cecair pembasmi kuman, sabun dan pembersih permukaan.

Bagi sebahagian rakyat Malaysia yang tidak berkemampuan malah tidak mampu membeli makanan, akan wujud keperluan untuk menyediakan topeng dan cecair pembasmi kuman untuk mereka, selain menjalankan kempen kesedaran amalan kebersihan.

Keempat, penjarakan sosial di tempat kerja dan sekolah

Kita sebenarnya belum bebas sepenuhnya pada 15 April. Tidak ada jaminan bahawa tidak akan ada lonjakan jangkitan sekiranya kita tidak mengambil langkah berjaga-jaga.

Apabila sekolah dan pejabat dibuka semula, langkah-langkah penjarakan sosial mesti diteruskan dan dipatuhi dengan ujian suhu badan yang kerap serta penjagaan kebersihan yang sepatutnya.

Dicadangkankan juga supaya sekolah dan institusi pengajian tinggi kekal ditutup dan pelajar diarah belajar secara atas talian untuk satu tempoh yang lanjut sehingga selepas cuti Hari Raya.

Jika keputusan ini dibuat oleh kerajaan lebih awal; guru-guru, ibu bapa dan semua orang akan dapat merancang dengan lebih baik.

Ini juga akan mengelak daripada sekolah-sekolah dan kolej menjadi tapak jangkitan besar-besaran.

Usaha-usaha perlu dilakukan untuk menyediakan akses internet kepada semua pelajar supaya tidak wujud sebarang jurang, terutamanya di kawasan luar bandar.

Kelima, makanan, rantaian bekalan dan logistik

Kerajaan wajar bertindak secara tersusun. Tangan kiri mesti tahu apa yang dilakukan tangan kanan. Agar PKP ini berhasil, pendekatannya harus tegas dan keras. Ini kita semua faham.

Tetapi harus juga dipastikan mereka yang bertanggungjawab ke atas aparat keselamatan dapat memastikan PKP tidak menimbulkan isu tidak cukup bekalan makanan, rantaian bekalan tidak terputus dan logistik diuruskan dengan baik supaya bekalan sentiasa mencukupi.

Sekiranya kerajaan komited untuk kembali beroperasi pada 15 April, adalah penting untuk dipastikan bahawa makanan mencukupi dan boleh didapati oleh semua dalam fasa kedua PKP dengan memastikan rantaian bekalan tidak terputus.

Sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk melanjutkan PKP ke fasa ketiga, adalah amat penting untuk dipastikan sekarang bahawa bekalan makanan mencukupi.

Kurangnya bekalan makanan akan menyebabkan harganya naik melambung dan mengganggu ketenteraman awam. Kita sedang berperang dengan Covid-19, tetapi bukanlah berperang dalam erti kata dibom siang malam. Kerajaan tidak boleh menyebabkan sebarang kekurangan bekalan makanan hanya kerana tangan kirinya tidak ‘bercakap’ dengan tangan kanan.

Empat belas hari akan datang adalah sangat penting. Strategi PKP bukanlah sesuatu yang mahu dilaksanakan selama-lamanya.

Strategi jalan keluar – terutamanya lima isu yang saya senaraikan; mestilah dirancang dan dilaksanakan dengan cemerlang.

Sekali lagi, saya berharap kerajaan akan dapat memberi komitmen kepada rakyat bahawa mereka bercadang untuk negara kembali beroperasi selepas 14 April, dan memberitahu orang awam apa yang akan mereka lakukan dalam jangka masa 14 hari ini, supaya Malaysia bersedia untuk berdepan kelaziman baru.


LIEW CHIN TONG merupakan pengerusi DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS