Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan layan pihak langgar PKP macam penjenayah, kata NGO
Diterbitkan:  Apr 2, 2020 11:51 AM
Dikemaskini: 5:44 AM

Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) mengingatkan bahawa mereka yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak wajar dilayan seperti penjenayah.

Dalam satu kenyataan hari ini, NGO itu menyifatkan tindakan polis menangkap individu yang melanggar PKP bercanggah dengan matlamat perintah itu, iaitu untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19.

NGO itu berkata, ini kerana merekat yang ditangkap akan diletakkan berdekatan dengan tahanan lain semasa reman, dan malah digari bersama pesalah lain apabila dibawa ke mahkamah.

“Mereka kemudian dibawa ke mahkamah dengan digari bersama pesalah lain, mereka kemudian sama ada dilepaskan dengan ikat jamin atau mengaku bersalah dan dikenakan denda atau penjara. Semua tindakan ini tidak membantu dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.

“Di saat doktor, jururawat dan pegawai kesihatan sudah berdepan dengan cabaran, tindakan dan polis bercanggah dengan matlamat yang ingin dicapai," katanya.

Proham menggesa polis untuk tidak terlalu mudah menangkap mereka yang melanggar PKP.

"Individu yang melanggar PKP tidak wajar dilayan seperti penjenayah, mereka hanya ingkar (perintah itu)," kata NGO itu lagi.

Kenyataan Proham itu ditandangani pengerusinya Khutubul Zaman dan setiausaha agung Ivy Josiah.

Semenjak PKP dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu, lebih 300 orang awam telah dibawa ke mahkamah kerana melanggar perintah tersebut.

Antaranya 11 individu yang ditahan ketika berjoging di Jalan Mont Kiara dan Jalan Desa Kiara, Kuala Lumpur. Mereka didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah.

Proham mencadangkan agar polis mengeluarkan notis kompaun - berbanding menangkap - kepada mereka yang ingkar terhadap PKP.

“Mereka yang gagal membayar kompaun boleh dibawa ke mahkamah selepas PKP tamat. Dengan cara ini, polis boleh memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan."

Memuji usaha polis dan tentera atas khidmat dalam memastikan rakyat patuh kepada PKP, NGO itu turut menggesa agar orang ramai agar tidak melanggar perintah itu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS