Terjemahan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim mengaku ada menerima surat layang mendakwa berlakunya amalan rasuah di kalangan beberapa orang hakim.

Bagaimanapun katanya dakwaan-dakwaan itu itu dibuat tanpa bukti, oleh itu tindakan tidak dapat diambil terhadap hakim-hakim berkenaan.

Katanya, walaupun aduan itu telah dipanjangkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), pihaknya tetap menjalankan siasatan dalaman untuk menentukan sejauh mana kebenaran dakwaan-dakwaan tersebut.

"Adalah tidak adil untuk bertindak berdasarkan surat layang semata-mata sedangkan tiada bukti-bukti kukuh dikemukakan.

"Kami telah laporkan aduan-aduan itu kepada BPR dan turut menjalankan siasatan sendiri, tetapi tiada bukti-bukti kukuh terhadap semua dakwaan itu," katanya kepada media selepas melancarkan seminar " Menghapuskan Rasuah dalam Sistem Kehakiman Negara" yang dianjurkan oleh Akademi Anti-Rasuah Malaysia.

Beliau menambah, dalam menjalankan siasatan, pihaknya perlu berhati-hati kerana kemungkinan surat layang itu ditulis oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan penghakiman yang dibuat oleh hakim-hakim berkenaan.

Beliau berkata, pernah berlaku seorang Hakim dilemparkan tuduhan rasuah oleh seseorang tetapi akhirnya dakwaan itu didapati tidak benar sama sekali dan orang yang membuat tuduhan itu rupa-rupanya pihak yang kalah dalam satu perbicaraan yang dihakimi oleh hakim berkenaan.

" Dakwaan itu dibuat oleh pihak yang kalah dan kecewa. Oleh itu adalah tidak adil jika bergantung pada maklumat dari surat layang sahaja," ujarnya.

Fairuz berkata, walaupun aduan yang dibuat terhadap hakim tidak banyak, namun pihak tidak memandang ringan perkara itu kerana akibat 'nila setitik, boleh rosak susu sebelanga.'

"Saya menerima beberapa aduan sahaja tetapi kesilapan yang sedikit itu boleh merosakkan seluruh sistem kehakiman. Oleh itu saya berharap BPR mendapatkan bukti-bukti kukuh sebelum bertindak terhadap mana-mana hakim," kata Fairuz yang telah mengesahkan menerima surat layang sejak perlantikannya sebagai Ketua Hakim Negara pada Mac 2003.

Menureut laporan Bernama, sebelum itu di dalam ucapan pembukaannya beliau menyifatkan orang yang menulis surat layang dan menyembunyikan identiti sebenarnya sebagai penakut.

Pada tahun 1996, Malaysia pernah digemparkan oleh pengedaran surat layang setebal 33 mukasurat yang mengandungi 112 dakwaan terhadap 12 orang hakim. Dakwaan-dakwaan itu membabitkan 21 tuduhan penyalahgunaan kuasa, 39 tuduhan rasuah, 52 dakwan salahlaku dan tidak bermoral.

Ekoran dari pengedaran surat layang itu, orang ramai dan Majlis Peguam mendesak polis menjalankan siasatan terhadap segala dakwaan tersebut.

Setelah siasatan dibuat, akhirnya Peguam Negara ketika itu, Allahyarham Mokhtar Abdullah mengumumkan surat layang tersebut ditulis oleh seorang Hakim. Segala tuduhan itu juga didapati tidak mempunyai bukti kukuh dan pendakwaan tidak boleh dilakukan.

Hakim yang menulis surat layang itu juga tidak dikenakan tindakan.