Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bazar Ramadan hanya cadangan kementerian WP, kata Ismail
Diterbitkan:  Apr 2, 2020 4:12 PM
Dikemaskini: 8:41 AM

Ketetapan untuk meneruskan penganjuran bazar Ramadan tahun ini khususnya di Wilayah Persekutuan hanyalah pandangan dan cadangan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kemenenterian Wilayah Persekutuan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana tidak ada perbincangan formal mengenainya dibuat setakat ini di pihak kerajaan.

"Untuk bazar itu saya percaya ini merupakan pandangan dan cadangan daripada pihak DBKL atau pun Kementerian Wilayah. Tidak ada perbincangan formal lagi tentang perkara ini dan mesyuarat jawatankuasa khas menteri pun belum membincangkan.

"Kerana kita rasa masih terlalu awal untuk kita membincangkan perkara tersebut," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian mengulas persoalan adakah kerajaan akan menyelaraskan penganjuran bazar Ramadan di negara ini.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata bazar Ramadan pada tahun ini akan diteruskan dan pengurusannya perlu diubah suai tanpa membatalkannya memandangkan ia merupakan keperluan terutamanya bagi mereka yang tinggal di bandar.

"Kita kena fikirkan keperluan masyarakat bandar yang tidak sempat memasak selepas habis bekerja," katanya.

Bagaimanapun, sehari selepas itu Annuar menafikan laporan tersebut dengan mengatakan belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu.

Reaksi awal Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pula berkata bazar Ramadan boleh beroperasi selagi peniaga mematuhi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) kementerian untuk mencegah penularan wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga menteri pertahanan berkata pihaknya akan melihat terlebih dahulu cadangan yang dikemukakan itu secara teperinci selain terus mendapatkan pandangan KKM.

"Insya-Allah kita akan lihat secara teperinci buruk dan baiknya kepada masyarakat terutama dari segi kementerian dan kita juga perlu mendapatkan pandangan daripada KKM sama ada perlu diteruskan atau tidak ada bazar Ramadan," katanya.

Sementara itu mengulas salah faham yang timbul antara badan bukan kerajaan (NGO) berhubung pengagihan bantuan kebajikan kepada golongan memerlukan ekoran penularan pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP), Ismail Sabri secara terbuka memohon maaf.

"Saya ingin minta maaf timbulnya salah faham dengan NGO dan saya amat amat berterima kasih kepada NGO-NGO yang sangat prihatin kepada permasalahan yang timbul pada hari ini terutamanya yang melibatkan kebajikan rakyat dan sebagainya. Insya-Allah kerajaan akan terus menjaga kepentingan rakyat di seluruh negara," katanya.

Pada 28 Mac lalu, Ismail Sabri berkata, NGO yang ingin menyumbang barangan keperluan atau makanan dinasihatkan supaya menghantarnya ke pusat pengumpulan di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah di seluruh negara.

Ketetapan itu dibuat kerajaan bagi mengelak mereka terdedah kepada jangkitan Covid-19,

Bagaimanapun, banyak NGO yang tidak berpuas hati dan meminta kerajaan memberikan pelepasan kepada mereka mengedarkan sendiri makanan, selain berjanji memberi kerjasama penuh dan mematuhi garis panduan kesihatan serta keselamatan yang ditetapkan sepanjang tempoh PKP.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS