Paling Popular
Terkini

ULASAN | Pada malam Krismas 1914, di kubu-kubu parit yang berlumpur di Western Front, pada Perang Dunia Pertama, satu peristiwa yang luar biasa telah berlaku.

Ribuan askar British telah meletakkan senjata mereka, keluar dari kubu-kubu parit masing-masing dan merayakan Krismas bersama askar-askar Jerman, yang ketika itu sepatutnya menjadi musuh mereka.

Askar kedua-dua pihak dikatakan bersalaman, menyanyi, bertukar-tukar rokok serta lain-lain barangan, memotong rambut dan bermain bola sepak bersama. Ada juga yang membantu askar musuh mengangkat mereka-mereka yang telah terkorban.

Lazimnya, mereka hanya 'berkomunikasi' melalui tembakan peluru dan sesekali berhenti menembak, untuk membenarkan mayat-mayat diangkat dari kawasan Tanah Tidak Bertuan atau No Man's Land.

Namun pada tempoh gencatan sejata tersebut, suasananya teramat berbeza. Ini sepertimana digambarkan oleh seorang askar British ketika itu, Bruce Bairnsfather: "Di sini (hadir) askar-askar Jerman, tiada kebencian walau sekecil zarah antara kedua-dua pihak."

Peristiwa ini telah dipanggil sebagai 'Gencatan Senjata Krismas' atau Christmas Truce.

Lebih 100 tahun selepas itu, peristiwa ini terus dilihat sebagai satu bentuk keajaiban, satu momen jarang berlaku yang membawa mesej keamanan, ketika perang itu baru sahaja memasuki beberapa bulan. Perang Dunia Pertama secara keseluruhan telah meragut lebih 15 juta nyawa.

Gencatan senjata itu meskipun dalam tempoh yang singkat, telah membawa perlambangan bahawa dua pihak yang sepatutnya menentang satu sama lain, boleh meraikan perayaan secara bersama-sama.

Semangat daripada peristiwa ini membawa kesedaran bahawa perbezaan dari segi ideologi atau sentimen politik boleh diketepikan demi sesuatu yang lebih besar atau lebih simbolik dalam kehidupan. Dalam kes ini, ia melibatkan satu perayaan keagamaan yang disambut oleh kedua-dua pihak yang berperang.

Pemikiran sama ini juga sedikit sebanyak boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita. 'Peperangan' dari segi perbezaan pegangan politik atau parti mana seseorang itu sokong boleh diletak tepi di kala krisis yang besar. Semua pihak meskipun berbeza fahaman perlu bergerak sederap untuk mendepani musuh yang sama (common enemy).

Wujud kebersamaan

Apabila wujud kebersamaan itu, nescaya apa juga cabaran yang mendatang dapat dihadapi dengan lebih baik. Lebih-lebih lagi apabila cabaran itu datang dalam bentuk yang belum pernah terjadi sebelum ini (unprecedented).

Kita kini sedang berdepan dengan satu dugaan besar dalam bentuk penularan virus Covid-19 yang menyebabkan ramai terkesan dari aspek kesihatan dan kewangan. Semua lapisan masyarakat sedang menerima kesannya termasuk golongan B40, miskin bandar dan luar bandar, warga emas, orang sakit, Orang Asli dan banyak lagi.

Hakikatnya rakyat sedang merasai pelbagai kesulitan hidup. Ramai golongan berpendapatan rendah hilang punca rezeki dan kini dalam kesempitan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP). Ada rakyat yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mereka kini runsing dengan kelangsungan hidup di sepanjang tempoh ini kerana tidak boleh bekerja.

Mereka mahu lebih pembelaan untuk menjamin punca rezeki mereka. Mereka memerlukan keperluan asas seperti bahan makanan serta pelbagai lagi bantuan.

Sehubungan itu, kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang perlu berganding bahu dan bekerjasama dalam memastikan usaha-usaha menangani penularan virus ini berjaya sekali gus menjamin kesejahteraan dari segenap aspek. Pada ketika ini, lebih elok berhenti dahulu daripada berpolitik. Tumpukan kepada usaha-usaha mengawal virus dan membela kehidupan rakyat.

Pastikan tindakan-tindakan seperti penamatan pelantikan atau perkhidmatan anggota badan-badan termasuk Mara, majlis perwakilan penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan dan Yayasan Kebajikan Negara, tidak berulang. Tidak wajar tindakan seumpama dilakukan ketika penguatkuasaan PKP.

Tindakan bersifat politik pada waktu ini hanya akan mengundang persepsi negatif rakyat.

Sebaliknya, seluruh pihak perlu bersama-sama menggembleng tenaga tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau pun fahaman politik untuk melandaikan keluk (flatten the curve) wabak ini serta menyelesaikan kemelut ekonomi yang kian menjelma.

Sekali lagi, saya tegaskan, semua pihak perlu bekerjasama demi rakyat dan negara.


BEN ZACK merupakan pemerhati isu-isu semasa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS