Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mewa bermaksud bodoh: Tuan Ibrahim kata masih bincang

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata singkatan nama baru kementeriannya, Mewa, masih dalam peringkat perbincangan dan akan diputuskan dalam peringkat kementerian nanti.

Ini setelah timbulnya dakwaan bahawa singkatan nama kementerian, Mewa mempunyai maksud yang tidak baik - bingung, bodoh - dalam dialek Kelantan.

“Penamaan kementerian telah diputuskan, Kementerian Alam Sekitar dan Air.

“Singkatan itu masih dalam perbincangan. Ini akan diputuskan di peringkat Kementerian.

“Buat masa ini kita kekal dengan nama penuh Kementerian Alam Sekitar dan Air,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.

Semalam, diumumkan penjenamaan semula Kementerian Alam Sekitar (KAS) kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air, dengan singkatan Mewa, bagi mengitegrasikan sektor alam sekitar dan air, yang sebelum ini diselia oleh dua pengurusan yang terpisah.

Kementerian Alam Sekitar dalam kenyataanya semalam berkata penjenamaan semula itu dimaklumkan oleh Tuan Ibrahim selepas dipersetujui kabinet kelmarin.

‘Teruskan kerja’

Tidak berapa lama kemudian, satu portal berita melaporkan bahawa singkatan baru Mewa yang berdasarkan nama kementerian dalam bahasa Inggeris - Ministry of Environment and Water- mempunyai makna bingung atau bodoh dalam dialek Kelantan.

Maksud itu didapatkan setelah pencarian dibuat di laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), yang menunjukkan kod ‘Kl’ pada padanan kata tersebut, merujuk kepada dialek Kelantan.

Disoal kemudiannya adakah beliau sendiri yang akan membangkitkan tentang singkatan nama yang tidak berapa sesuai itu dalam mesyuarat peringkat kementerian nanti, Tuan Ibrahim berkata segala cadangan akan diteliti.

“Pihak pengurusan akan bincangkan dan meneliti pelbagai cadangan.

“Bagi saya nama dan agensi dah jelas. Teruskan kerja dan tingkatkan kemampuan,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS