Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sebab berkurung di rumah, bayi dijangka bertambah awal 2021
Diterbitkan:  Apr 3, 2020 10:10 PM
Dikemaskini: 2:10 PM

Malaysia dijangka menyaksikan jumlah pertambahan bayi pada awal tahun depan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang memerlukan orang ramai tinggal di rumah bagi menghalang penyebaran Covid-19.

Ketua Unit Kesihatan Reproduktif, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Hamizah Mohd Hassan membuat kesimpulan itu berdasarkan kes-kes kelahiran baru yang luar biasa berlaku di luar negara.

“Saya memetik kenyataan dibuat Patrick Whittle (wartawan Associated Press) iaitu pada tahun 1998 terdapat ribut salji yang buruk di Maine dan New Hampshire. Bandar itu terpaksa ditutup dan penduduk terperangkap di rumah dalam jangka lama.

“Sembilan bulan kemudian terjadi ‘baby boom’ (kelahiran bayi luar biasa) di sana. Perkara yang sama juga dijangka boleh berlaku di Malaysia kerana rakyat terpaksa duduk di rumah melalui tempoh PKP ketika ini,” katanya dipetik BH Online.

Beliau berkata demikian ketika rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Radio Televisyen Malaysia (RTM), hari ini.

PKP fasa pertama dikuatkuasakan antara 18 hingga 31 Mac lalu dan dilanjutkan pada fasa dua bermula 1 hingga 14 April ini.

Dr Hamizah berkata, bagi menangani kemungkinan kehamilan susulan PKP, pasangan berkahwin digalakkan mengamalkan perancangan keluarga menerusi kaedah tertentu seperti pengambilan pil kontraseptif kecemasan (ECP).

Kaedah lain termasuk menggunakan suntikan hormon pencegah kehamilan, memasang alat pencegahan kehamilan di dalam rahim (IUCD), memasang implan atau menggunakan kondom.

“Sekiranya bimbang berlaku kehamilan selepas melakukan hubungan kelamin, wanita boleh mengambil serta merta ECP pada kadar dua biji sekali makan disusuli sebiji pil selepas 12 jam.

“Pil ini boleh dimakan dalam tempoh 72 hingga 150 jam atau tiga hari maksimum tetapi keberkesanannya hanya 85 peratus saja.

“Begitu juga jika penggunaan IUCD atau impan sudah tamat tempoh, wanita boleh mengambil pil pencegah hamil atau kondom. Pil pencegah hamil boleh dibeli di farmasi atau klinik kerana ia ubat yang termasuk dalam kategori C iaitu boleh dibeli tanpa memerlukan preskripsi doktor,” katanya.

Lihat Komen
ADS