Ketua Polis pertahan keganasan polis Ahad lepas
Terjemahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar mempertahankan tindakan ganas anggota bawahannya dalam menyuraikan demonstrasi membantah kenaikan tarif elektrik di ibunegara Ahad lalu.
Terjemahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar mempertahankan tindakan ganas anggota bawahannya dalam menyuraikan demonstrasi membantah kenaikan tarif elektrik di ibunegara Ahad lalu.
"Anggota polis terpaksa menjalankan tugas, mereka hanya melaksanakan tugas mereka. Saya mempertahankan tindakan para pegawai saya dan anggota-anggota mereka," katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis Cheras hari ini.
Ahad lalu seramai 20 orang ditahan dan sekurang-kurangnya dua penunjuk perasaan cedera parah selepas dipukul oleh anggota polis pencegah rusuhan (FRU) di hadapan Kuala Lumpur City Centre, Jalan Ampang.
Salah seorang mangsa, Amran Zulkifli dimasukkan ke hospital dan menerima lima jahitan di kepalanya sementara seorang lagi, Lim Ban Teng patah tangannya.
Dalam kejadian itu, anggota polis juga disaksikan menyerang dan menendang Timbalan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zahir Hassan di hadapan dua anak perempuannya.
Bagaimanapun Ketua Polis itu seolah-olah tidak mendapat gambaran sebenar situasi pada hari Ahad itu kerana media massa arus perdana tidak melaporkannya secara meluas.
Berikut petikan soal jawab antara malaysiakini dan Bakri dalam sidang media berkenaan.
Malaysiakini: Polis telah menyuraikan penunjuk perasaan pada Ahad lalu....dan beberapa orang cedera teruk....
Bakri: Teruk macam mana? Saya tidak tahu bagamana teruknya kecederaan mereka...
Malaysiakini:
Mereka dimasukkan ke hospital. Wajarkah tindakan keras dan ganas itu?
Bakri: Police telah diamanahkan untuk menjaga ketenteraman dan keselamatan ...itu tugas asas kami. Kalau anda rujuk kepada seksyen 33 Akta Polis, anda akan tahu tugas polis. Kami perlu menegakkan undang-undang dan peraturan.
Jika orang ramai membanjiri jalanraya, berdemonstrasi dan jika polis tidak berbuat apa-apa, ia akan menjejaskan laluan trafik, ia akan mengancam keamanan di tempat itu.
Jadi kami ada tugas untuk dijalankan dan anggota-anggota saya menasihatkan penunjuk perasaan bersurai. Tapi ada yang berdegil dan menyerang polis..jadi polis ada hak mempertahankan diri. Kalau mereka dengar nasihat dan bersurai mungkin tiada tangkapan dibuat.
Malaysiakini: Tapi rakaman video menunjukkan orang ramai sedang bersurai ketika polis mengejar dan memukul mereka. Ada di antara penunjuk perasaan itu wanita dan kanak-kanak.
Bakri: Polis terpaksa menggunakan sedikit kekerasan...terlalu minima, polis tidak berniat untuk mencederakan mereka.
Tindakan ganas polis itu telah mendapat bantahan dan kecaman pelbagai pertubuhan dan parti politik. Tunjuk perasaan itu disertai kira-kira 500 orang.
Sementara itu, penunjuk perasaan yang cedera di kepala, Amran Zulkifli, 38, berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap polis kerana bertindak ganas pada Ahad lalu.
Katanya, polis telah menafikan haknya dan orang ramai untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan rasa tidak puas hati mereka. Berita asal

