Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pasangan dari India akhirnya pulang selepas dakwa dihalang kali ketiga

Pasangan Malaysia yang terkandas di India akhirnya berjaya pulang ke tanah air selepas kali ketiga mendakwa nama mereka dicicirkan dari senarai penumpang penerbangan khas ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tiruchirappalli di Tamil Nadu, India Selatan hari ini.

Menurut seorang saksi, pasangan itu adalah antara sekumpulan kira-kira 80 individu yang terkandas di India sejak 13 Mac akibat wabak Covid-19.

Mereka pagi ini bergegas ke lapangan terbang, kira-kira 330 km dari ibu kota Tamil Nadu Chennai, dengan harapan pulang tanah air.

"Pagi ini kami pergi ke lapangan terbang selepas kami diberitahu oleh konsul-konsul Malaysia bahawa hari ini ada penerbangan terakhir dari Trichy (Tiruchirappalli) ke Kuala Lumpur.

"Di lapangan terbang, kami mendapati 36 rakyat Malaysia yang dijadualkan menaiki pesawat tidak hadir, jadi tempat duduk mereka ditawarkan kepada 16 penumpang dalam senarai menunggu," kata sumber itu.

Sumber bagaimanapun mendakwa beberapa individu yang dikatakan mewakili MIC hanya membenarkan 14 ahli kumpulan itu menaiki pesawat dan meninggalkan pasangan suami isteri itu.

"Ini adalah kali ketiga nama mereka dicicirkan daripada senarai," katanya.

Sumber itu mendakwa keadaan itu mencetuskan kekecohan melibatkan pasangan itu dengan beberapa individu lain, memaksa pesuruhjaya polis dari Trichy tiba ke tempat kejadian.

"Pesuruhjaya polis kemudian membantu pasangan menaiki pesawat (penerbangan).

"Pihak yang mendakwa mewakili MIC beredar sebaik sahaja polis tiba," kata sumber itu.

Difahamkan penerbangan Malindo itu dijadualkan mendarat di Kuala Lumpur pada jam 5 petang hari ini.

Semasa dihubungi, presiden MIC SA Vigneswaran menafikan dakwaan parti itu menghalang mana-mana individu daripada menaiki penerbangan khas Covid-19.

"MIC tidak mempunyai kuasa untuk menentukan senarai nama (penumpang)," katanya kepada Malaysiakini.

Vigneswaran juga menafikan dakwaan terdapat usaha menghalang kerana suami wanita berkenaan dikatakan membantu agensi pelancongan yang dikaitkan dengan pemimpin pembangkang.

"Semua yang pergi ke India melalui agensi pulang ke tanah air dengan penerbangan yang disewa oleh MIC.

"Tidak perlu kata 'terima kasih' tetapi jangan sebarkan fitnah, kami tidak mempunyai agenda peribadi," tegasnya.

Selepas enam penerbangan pertama yang membawa balik 1,116 rakyat Malaysia dari India, MIC melalui perbincangan dengan Wisma Putra telah menganjurkan 13 lagi penerbangan termasuk dari Kathmandu, Nepal.

Berkuat kuasa semalam, semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dihantar segera untuk kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang disediakan kerajaan.

Lihat Komen
ADS