Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pesalah ingkar PKP boleh buat khidmat masyarakat selepas PKP'

Peguam Haniff Khaitri Abdulla memuji Ketua Pengarah Jabatan Penjara Zulkifli Omar kerana membangkitkan kebimbangan berkenaan keadaaan penjara yang sesak, dengan ratusan telah dihukum penjara setakat ini kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Terdahulu hari ini, Zulkifli mencadangkan agar mereka yang melanggar perintah itu dikenakan hukuman menjalankan khidmat masyarakat.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pula berkata pihak berkuasa mungkin tidak dapat berbuat demikian kerana tiada khidmat masyarakat boleh dijalankan sepanjang tempoh PKP.

Bagaimanapun Haniff berkata cadangan Zulkifli masih boleh dibuat dengan membenarkan mereka yang dihukum bersalah menjalankan khidmat masyarakat selepas PKP tamat.

"PKP dikuatkuasakan untuk melindungi kepentingan awam. Satu tindakan betul untuk menghukum mereka yang melanggarnya dengan kerja khidmat masyarakat seperti membersihkan rumah anak yatim, pustaka awam dan rumah orang tua," katanya kepada Malaysiakini.

Haniff berkata, pelanggaran PKP adalah satu kes yang mudah dan penguatkuasa yang menangkap individu yang melanggarnya boleh terus mengambil keterangan dan memberikan ikat jamin polis kepada mereka, sementara menunggu pendakwaan atau siasatan seterusnya.

"Ia bukan kes bunuh atau rogol di mana polis perlu menahan suspek dan menjalankan siasatan, serta mencari senjata pembunuhan atau bukti DNA.

"Langkah menahan mereka yang melanggar PKP juga akan menjadikan lokap polis sesak dan membawa risiko (jangkitan) kepada tahanan lain dan anggota polis," katanya.

Dalam surat kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, Zulkifli berkata langkah memenjarakan pesalah PKP membawa risiko jangkitan wabak Covid-19 kepada banduan lain dan pegawai penjara.

Zulkifli Omar

Beliau berkata seramai 378 orang telah dipenjara kerana melanggar PKP, setakat 1 April lalu.

"Selain menambah kesesakan sedia ada, Jabatan Penjara juga bimbang jika mereka boleh menjadi punca penularan wabak Covid 19 di dalam penjara kerana status kesihatan mereka yang tidak diketahui.

"Jabatan Penjara juga berpendapat bahawa adalah satu masalah besar jika berlaku penularan Wabak Covid 19 di penjara kerana selain penjarakkan sosial (social distancing) yang mustahil dapat dilakukan penjara juga bakal menjadi tempat penularan wabak Covid 19 yang tidak terkawal dan boleh mengancam nyawa banduan mahu pun kakitangan," kata Zulkifli lagi.

Haniff setuju dengan kenyataan Zulkifli tetapi berkata cadangan itu sepatutnya dibawa ke Pejabat Peguam Negara.

Katanya, ini kerana ketua hakim tiada kuasa untuk memberitahu hakim tentang hukuman yang harus diberikan.

Katanya lagi, timbalan pendakwa raya juga berperanan dalam mencadangkan hukuman kepada majistret.

Selain itu, Haniff berkata hukuman yang diberikan juga perlu mengambil kira tahap kesalahan serta keadaan pesalah, seperti misalnya dia merupakan golongan berpendapatan rendah.

PKP berkuatkuasa sejak 18 Mac hingga 14 April ini. Hari ini Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya akan menyediakan data pada 10 April ini bagi membantu kerajaan membuat keputusan sama ada PKP perlu dilanjutkan.

Sepanjang tempoh PKP, semua perkhidmatan dan perniagaan dalam kategori "tidak penting" tidak boleh beroperasi dan orang awam hanya dibenarkan keluar rumah untuk urusan penting, misalnya membeli bekalan makanan.

Bagaimanapun tetap ada yang melanggar perintah itu dengan keluar atas tujuan lain.

Pada tahap awal PKP, kerajaan menggunakan pendekatan nasihat tetapi kini dilihat lebih tegas dengan menangkap dan mendakwa mereka yang melanggarnya.

Lihat Komen
ADS