Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Seorang pegawai polis korban Covid-19, maklum IGP
Diterbitkan:  Apr 5, 2020 9:50 AM
Dikemaskini: 4:41 AM

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador memaklumkan seorang anggota pasukan keselamatan itu telah meninggal dunia akibat wabak Covid-19, lapor agensi berita nasional.

“Seorang pegawai telah meninggal dunia akibat wabak Covid-19, dan ada yang dijangkiti kerana pergi ke luar negara serta dijangkiti daripada kluster ahli tabligh," katanya dipetik Bernama.

Menurut beliau lagi, setakat ini, 33 anggota pasukan keselamatan itu disahkan positif Covid-19, manakala kira-kira 750 ahli keluarga mereka diarahkan untuk dikuarantin.

Bagaimanapun, laporan Bernama tidak menjelaskan butiran terperinci mengenai punca jangkitan Covid-19 terhadap pegawai yang meninggal dunia itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hamid dipetik Bernama berkata beliau telah mengeluarkan arahan kepada semua ketua polis daerah supaya melakukan pembersihan dan pembasmian kuman di semua lokap pada setiap hari.

"PDRM sentiasa laksana tugas dengan mengambil kira hak asasi manusia dan semua pihak perlu faham akan tugas pihak polis,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, di Kuala Lumpur.

Abdul Hamid juga dilaporkan meminta semua anggota keselamatan bertugas menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memakai penutup hidung dan mulut serta mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman.

"Prosedur operasi standard (SOP) di sekatan jalan raya sudah ada, antaranya anggota yang bertugas tidak dibenarkan pegang kereta ketika bertanya serta digalakkan untuk kerap mencuci tangan," jelasnya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS