KORONAVIRUS | Kerajaan mengarahkan Jabatan Peguam Negara, polis, dan Jabatan Penjara mencari jalan bagi menangani isu kesesakan di penjara ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan mahu perkara itu diselesaikan dengan kadar segera.

"Mesyuarat telah putuskan pihak Peguam Negara, polis, dan Jabatan Penjara membincangkan isu ini untuk diselesaikan dengan segera," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Semalam Jabatan Penjara merayu kepada mahkamah untuk tidak memenjara pesalah PKP kerana kesesakan semasa penjara dialami menyebabkan "mustahil" untuk untuk melaksanakan langkah menjaga jarak antara satu sama lain.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat hari ini mengeluarkan arahan menggesa para hakim mengambil kira isu kesesakan penjara ketika menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang ingkar terhadap PKP.

Berkenaan tangkapan baru mereka yang ingkar PKP, Ismail berkata seramai 368 orang ditahan di 745 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam.

Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan yang mungkin disebabkan kesedaran awam yang lebih tinggi mengenai keperluan untuk mematuhi PKP.

Daripada jumlah itu, Ismail berkata 309 orang ditahan reman manakala 59 lagi dibebaskan dengan ikat jamin.

Pada masa sama, Ismail memberi peringatan bahawa polis kini akan mengambil pendekatan tegas terhadap mereka yang melanggar PKP dan berharap orang ramai mengharagai pengorbanan mereka.

"Polis ada prosedur sendiri...jadi kami akan serahkan kepada mereka," katanya ketika ditanya sama ada perlu menyiasat anggota yang didakwa merotan orang awam yang melanggar PKP.

"Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan bahawa polis juga manusia.

"Bagi polis yang bertugas tak kira hujan atau panas dari pagi hingga malam, kita mesti memberi pertimbangan sewajarnya," katanya yang menyifatkan beberapa tindakan mungkin disebabkan provokasi semasa bertugas dalam keadaan yang mencabar.

Minggu lalu, polis Sabah dilaporkan sedang menyiasat rakaman video 27 saat tular yang menunjukkan seorang pegawai polis merotan lima individu kerana melanggar perintah PKP.

Timbalan Ketua Pesuruhaya Polis Sabah Mazli Mazlan dilaporkan berkata siasatan masih dijalankan walaupun tiada laporan rasmi dibuat atas kejadian itu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.