Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Surat Hadi fitnah untuk gambarkan PH musuh Islam'
Diterbitkan:  Apr 5, 2020 5:20 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Amanah kesal dan terkilan dengan kandungan surat yang dikatakan ditulis Presiden PAS, Abdul Hadi Awang kepada pemimpin gerakan Islam di seluruh dunia baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, kandungan surat berkenaan mengandungi tohmahan, palsu, mengelirukan dan berunsur fitnah dengan cuba menggambarkan parti-parti komponen Pakatan Harapan sebagai memusuhi Islam .

"Jelas di dalam surat tersebut Abdul Hadi cuba memberikan gambaran yang salah tentang kedudukan dan suasana politik di Malaysia. 

"Abdul Hadi juga secara tidak bertanggungjawab dengan sengaja melabel parti komponen Pakatan Harapan dengan istilah yang buruk supaya dilihat menyeleweng dan memusuhi Islam," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kepada sepucuk surat dalam bahasa Arab yang dikatakan ditulis Abdul Hadi kepada pemimpin gerakan Islam seluruh dunia baru-baru ini.

Bagaimanapun pemimpin PAS mengambil sikap berdiam diri berhubung surat yang tular di media sosial itu.

Khalid berkata, Abdul Hadi dalam surat berkenaan mendakwa PH dikuasai golongan bukan Islam, berada di bawah pengaruh Komunis dan Kristian serta disokong Amerika Syarikat, Eropah, Singapura, Zionis dan gerakan Freemason.

Selain itu, katanya, Abdul Hadi juga menuduh Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai seorang ‘sekular pragmatik yang berbahaya’ dan buruk karakter peribadi dan akhlaknya.

"Anwar juga difitnah sebagai pemimpin kepada golongan yang memusuhi Islam dan beliau disokong oleh DAP yang digambarkan sebagai parti Kristian.

"Terhadap Amanah pula, Abdul Hadi telah menuduh parti ini sebagai sebuah parti Islam liberal dan sekular yang ditubuhkan oleh Anwar Ibrahim dan juga pimpinan DAP.

"Beliau turut menggelar mereka yang bersama Amanah sebagai kelompok yang tergesa-gesa dan juga oportunis yang telah keluar daripada PAS.

"Kesemua tuduhan ini dibuat bagi menegakkan hujah Abdul Hadi dan meyakinkan penerima surat kononnya Pakatan Harapan merupakan musuh dan ancaman kepada Islam," kata anggota parlimen Shah Alam itu.

Selain itu beliau juga membidas dakwaan Abdul Hadi bahawa wujud konspirasi dalaman untuk menjatuhkan Dr Mahathir Mohamad bagi memastikan golongan anti-Islam berkuasa sehingga PAS dan sekutunya mengambil alih kerajaan.

"Hakikatnya, kerajaan Pakatan Harapan berdiri teguh bersama kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan tegas mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan," tegasnya.

Justeru itu, Khalid menyeru rakyat Malaysia untuk menolak 'politik fitnah, permusuhan dan adu domba yang tidak berakhlak' dilakukan presiden PAS itu.

"Sikap dan kelakuan Abdul Hadi boleh dinamakan 'gutter politics" atau politik longkangdan  tidak lagi layak dilayani apatah lagi diikuti," katanya.

Lihat Komen
ADS