Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ujian Covid-19 dilakukan lepas tahanan mati dalam lokap polis

Pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong mengambil langkah berjaga-jaga berhubung penularan Covid-19 selepas seorang lelaki yang ditahan dalam lokap IPD berkenaan meninggal dunia akibat sesak nafas.

Polis berkata, mereka menahan lelaki berusia 30 tahun itu pada 2 April lalu kerana disyaki mencuri.

Mayatnya dihantar ke Hospital Bentong di mana ujian Covid-19 akan dijalankan.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Yusof Unis, anggota polis yang bertugas mendapati mangsa menghadapi kesukaran bernafas kira-kira jam 12.50 malam tadi sebelum memanggil ambulans.

"Bagaimanapun, sebaik sahaja ambulans tiba di lokap, mereka mendapati lelaki itu telah meninggal dunia.

"Dia disahkan meninggal dunia pada jam 1.10 pagi," kata Yusof ketika dihubungi petang ini.

Malaysiakini menghubungi Yusof selepas dimaklumkan kematian mangsa oleh aktivis NGO Hapus Deraan dan Kematian Dalam Tahanan (Edict) yang memaklumkan kejadian itu di Twitter.

Yusof berkata, mereka masih menyiasat punca kematian dan bedah siasat hanya akan dijalankan sekiranya mangsa disahkan bukan meninggal dunia akibat Covid-19.

"Buat masa ini, kami membuka siasatan di bawah kematian mengejut," katanya.

Yusof berkata, buat masa ini, polis mengasingkan beberapa tahanan yang berada dalam sel yang sama dengan mangsa sebagai langkah berjaga-jaga.

Setakat tengah hari ini, Malaysia mencatatkan sejumlah 3,662 kes positif Covid-19 dengan jumlah kematian terkumpul 61 orang.

Lihat Komen
ADS