Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengalaman Pulau Pinang melawan Covid-19 fasa pertama

ULASAN | Perang mengalahkan Covid-19 adalah pertempuran panjang. Seperti dikatakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, ia adalah "maraton, bukan larian pecut 100 meter" dan "kita perlukan kekuatan fizikal dan mental sehingga garis penamat.”

Ya, terlalu awal untuk bercakap mengenai pencapaian. Tetapi hakikatnya, pada akhir fasa pertama perintah kawalan pergerakan (PKP) dari 18 hingga 31 Mac lalu, Pulau Pinang berjaya mengekalkan bilangan pesakit Covid-19 bawah 100 orang, berada di tempat ke-10 kes daripada 13 negeri.

Bagi negeri yang paling padat penduduknya di Malaysia, ia bukanlah mudah. Kepadatan tinggi bermakna lebih ramai orang berkelompok bersama dan penjarakan sosial menjadi lebih sukar.

Menyedari risiko sebagai negeri yang sangat padat, Pulau Pinang memulakan usaha membendung penyakit ini sejak awal. Menyambung bidalan Chow di atas, dalam situasi ini, kita memecut sebelum kiraan “tiga, dua, satu, lari!”

Seawal 5 Mac, apabila Malaysia mengambil maklum dan berjaga-jaga dengan berita gelombang kedua jangkitan Covid-19, ketua menteri Pulau Pinang mula membincangkan keadaan itu bersama kami.

Pada hari sama, kerajaan negeri menasihati penganjur untuk membatalkan festival tahunan Jepun yang sangat popular, Yosakoi, yang sepatutnya diadakan empat hari kemudian.

Menjelang 11 Mac, menjangkakan situasi akan menjadi semakin parah, ketua menteri mengeluarkan arahan untuk menghentikan semua acara melibatkan perhimpunan awam.

Dua hari kemudian - pada 13 Mac - Chow memberitahu kami untuk membina pasukan komunikasi dan strategi Covid-19.

Strategi tiga P lawan Covid-19

Pada tengah hari 16 Mac, beliau melancarkan kempen “Pulau Pinang Lawan Covid-19”, dan kami menjadi negeri pertama di Malaysia berbuat demikian. Sebelah malamnya perdana menteri mengumumkan PKP di seluruh negara.

Kempen Pulau Pinang boleh diringkaskan menjadi tiga strategi utama iaitu pengawalan wabak, penerangan awam dan pengurusan impak.

Saya akan menerangkan secara ringkas setiap strategi di bahagian yang berikut.

Pengawalan wabak: Ketua Menteri memimpin pengurusan isu berkaitan Covid-19 melalui Jawatankuasa Khas Keselamatan Pulau Pinang yang dipengerusikan beliau sendiri. Jawatankuasa ini ibarat "war room" yang menyelaraskan kerja antara agensi persekutuan dan negeri dalam perkara berkaitan Covid-19.

Usaha melawan Covid-19 memerlukan kerjasama semua parti, justeru ketua menteri melantik Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Muhamad Yusoff untuk berada dalam jawatankuasa "war room" beliau.

Walaupun berbeza parti, Pulau Pinang merupakan kerajaan negeri yang pertama menyatakan sokongan penuh terhadap PKP oleh Putrajaya.

Kedua-dua majlis bandar raya di Pulau Pinang diarah menubuhkan Pasukan Gerakan Khas Covid-19 di kawasan masing-masing. Melalui pasukan tersebut, kira-kira 5,000 kakitangan digerakkan untuk dua tugas utama, iaitu penguatkuasaan PKP dan kerja-kerja pembersihan serta pembasmian kuman.

Pegawai penguat kuasa PBT bekerjasama agensi penguatkuasaan Persekutuan untuk memastikan pematuhan PKP terutama di tempat-tempat seperti medan selera, pasar dan restoran.

Premis-premis perniagaan dan kilang-kilang yang dibenarkan untuk beroperasi dipantau bagi memastikan langkah-langkah kesihatan awam - seperti penjarakan sosial - dilaksanakan.

Menjelang penghujung peringkat pertama PKP, Pulau Pinang mencapai hampir 99 peratus kadar pematuhan.

Kandungan bersifat setempat

Satu lagi langkah penting di bawah strategi ini ialah memastikan barisan hadapan kita - terutama kakitangan perubatan - mempunyai peralatan yang cukup untuk melakukan tugas. Sepanjang peringkat pertama PKP, peralatan pelindungan seperti PPE, penutup hidung dan mulut, perisai muka, pensanitasi dan peralatan perubatan seperti katil hospital, termometer inframerah diagihkan kepada petugas barisan hadapan.

Malah kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta untuk menjamin bekalan hospital yang mencukupi sepanjang tempoh PKP dan seterusnya.

Penerangan awam: Sejak awal, kerajaan Pulau Pinang membuat keputusan untuk menggunakan strategi komunikasi yang jelas, pantas dan telus. Kami percaya bahawa, hanya dengan maklumat yang tepat, yang disampaikan dengan ringkas dan cepat, barulah orang ramai dapat membantu melawan wabak ini.

Pulau Pinang satu-satunya kerajaan negeri di Malaysia membangunkan platform khusus untuk menyampaikan maklumat awam. Kempen Pulau Pinang mempunyai laman web, halaman Facebook dengan interaksi yang sangat aktif, saluran Telegram dan talian hotline.

Walaupun kerajaan Persekutuan juga mempunyai saluran komunikasi tersendiri, platform negeri menyediakan kandungan yang lebih bersifat setempat untuk Pulau Pinang.

Bahan saranan dan pendidikan kesedaran dalam bentuk papan iklan, poster dan video dalam bahasa kebangsaan serta bahasa Cina, Tamil dan Inggeris turut disebarkan secara meluas di seluruh negeri.

Ketua menteri sendiri memberikan maklumat terkini kepada orang ramai setiap hari melalui siaran Facebook Live. Mesejnya sentiasa ringkas, melaporkan keadaan terkini, memaklumkan apakah tindakan yang diambil oleh kerajaan dan memberi nasihat kepada masyarakat apabila perlu.

Oleh sebab usaha yang konsisten, siaran harian ini menjadi sesuatu yang dinantikan setiap hari oleh masyarakat Pulau Pinang untuk mendapatkan perkembangan terbaru mengenai keadaan di negeri ini.

Pengurusan impak: Salah satu ciri kempen Pulau Pinang ialah kerajaan negeri bertindak awal - seperti yang dinyatakan pada awal artikel ini.

Pasukan kempen membuat perancangan berpandukan analisis senario (scenario analysis), justeru kami berupaya untuk mengambil tindakan sebelum sesuatu senario berlaku.

Senario normal yang baru

Contohnya, kami melancarkan kempen "Pulau Pinang Lawan Covid-19" sebelum PKP diumumkan.

Selain itu, Pulau Pinang adalah negeri pertama yang mengumumkan pakej rangsangan RM20 juta untuk mengurangkan impak sosioekonomi PKP. Ia diumumkan sehari sebelum PKP bermula.

Seminggu kemudian, satu lagi pakej rangsangan RM55 juta ditambah kepada pakej asal yang menjadikan keseluruhan pakej berjumlah RM75 juta.

Dan Pulau Pinang adalah negeri pertama mengagihkan bantuan kewangan daripada pakej rangsangan kepada kumpulan sasaran pada 1 April lalu. Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang mempunyai tiga objektif, iaitu:

1) Menyediakan bantuan kewangan segera kepada kumpulan yang paling terkesan seperti penjaja, peniaga kecil, pemandu teksi dan e-hailing, penarik beca, dan kumpulan B40.

2) Membolehkan golongan pekerja kekal berdaya saing, mengekalkan pekerjaan mereka dan membina semula diri dan keluarga melalui pekerjaan bermaruah.

3) Memastikan kelangsungan perniagaan terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Pulau Pinang.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Walaupun pakej bantuan pertama diagihkan, kerajaan negeri berjanji untuk mengumumkan bantuan pusingan kedua apabila wujud keperluan kelak.

Ketika ini, rancangan sedang dibuat untuk menyediakan negeri menghadapi dunia pasca-PKP dalam masa dua minggu. Kami meneroka kemungkinan senario yang disebut pakar sebagai “next normal” atau “normal baru”.

Kerajaan Pulau Pinang menjangkakan penyesuaian semula institusi, serta dasar ekonomi dan sosial kita dalam situasi normal baru ini.


STEVEN SIM ialah ahli parlimen Bukit Mertajam merangkap pengarah kempen Pulau Pinang Lawan Covid-19 yang bertanggungjawab dalam komunikasi dan pemberdayaan masyarakat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS