Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin akui ada yang terbeban dengan PKP
Diterbitkan:  Apr 6, 2020 5:23 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tertarik dengan kreativiti segelintir masyarakat mengisi masa terluang ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) termasuk individu yang mengubah ucapannya menjadi lagu rap.

Malah turut menarik perhatian perdana menteri adalah tindakan segelintir suami memakai baju kelawar isteri yang tular di media sosial ketika ini.

"Saya lihat di media sosial, ada suami yang mula memakai baju kelawar isteri. Ada yang mengayuh basikal dalam rumah. Ada juga yang mengubah ucapan saya menjadi lagu.

"Saya harap ini bukanlah kejadian pelik, atau buang tabiat kata orang. Ini adalah sebahagian daripada kreativiti anda semua untuk menghilangkan rasa bosan duduk di rumah," katanya secara berseloroh.

Muhyiddin berkata, demikian ketika menyampaikan ucapan langkah tambahan bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang disiarkan dikaca TV petang ini.

Ia merupakan kesinambungan kepada pakej Prihatin bernilai RM250 bilion yang diumumkannya sebelum ini.

Malaysia kini sedang melaksanakan PKP bagi memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19.

Pada awalnya, PKP dirancang untuk diadakan sehingga 31 Mac lalu, namun dilanjutkan sehingga April ini ekoran penularan wabak berkenaan.

Kemungkinan PKP akan dilanjutkan lagi ataupun tidak ditentukan 10 April nanti apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerima laporan perkembangan penularan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan.

Muhyiddin dalam ucapannya berkata, beliau menyedari ada di kalangan rakyat berasa agak terbeban dengan ujian ini apatah lagi selama tiga minggu terhalang daripada melakukan aktiviti seperti kebiasannya.

"Kita tinggalkan hobi kita, kita tinggalkan pekerjaan kita, kita rindu kepada kawan-kawan dan keluarga yang berjauhan.

"Pendek kata, kehidupan kita amat berbeza, dan kadang-kadang berasa sedikit terbeban.

"Saya yakin dugaan yang dibawa oleh wabak Covid-19 ini bukanlah sesuatu yang tidak dapat tanggung oleh kita semua. Teruslah cekal, kuat dan bersemangat. Yakinlah, kita akan dapat atasi dugaan ini bersama-sama," katanya lagi.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Muhyiddin merakamkan penghargaan kepada semua petugas di barisan hadapan yang menjalankan amanah dengan penuh dedikasi.

Lihat Komen
ADS