Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ulama PAS kecam pengkritik kerajaan 'menyalak'
Diterbitkan:  Apr 6, 2020 8:01 PM
Dikemaskini: 12:01 PM

Ulama PAS yang terkenal, Mokhtar Senik, hari ini 'membelasah' Pakatan Harapan (PH) dan penyokong gabungan itu dalam isu kelulusan kilang arak beroperasi semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sekarang.

Menggunakan gelaran seperti "menyalak" dan "khadam' Mokhtar berkata penyokong PH sepatutnya mencari isu lain untuk mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Untuk rekod, PAS kini adalah sebahagian daripada kerajaan PN hasil kerjasama parti itu dengan Umno dan Bersatu yang dipimpin Muhyiddin Yassin.

Kerjasama itu dikritik banyak pihak atas alasan bercanggah dengan demokrasi dan bukan mewakili kehendak rakyat yang memberikan mandat kepada PH dalam PRU ke-14 lalu.

"Khadam-khadam PH baru nak menyalak pasal isu arak sekali gus nak belasah PAS, tiba-tiba kerajaan PN tarik balik kebenaran operasi kilang arak sepanjang PKP ini.

"Kasihan juga, sebab mereka cari makan dengan menyalak.

"Cari isu lainlah pula. Yang penting terus menyalak. Tiada menyalak tiada masyuk (pendapatan). Jangan tak menyalak tau, nanti Tony marah," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Istilah menyalak biasanya dikaitkan dengan perilaku anjing.

Miti keluar surat serta-merta

Semalam, tular sepucuk surat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memberi pengecualian kepada sebuah syarikat arak untuk beroperasi ketika PKP.

Dalam surat bertarikh 31 Mac yang dilihat Malaysiakini itu, kementerian berkenaan membenarkan Heineken Malaysia Bhd beroperasi dalam PKP, susulan permohonan yang dibuat pada 24 Mac.

Syarikat pembekal bir itu kemudian mengesahkan ketulenan surat berkenaan melalui satu kenyataan sambil menambah bahawa operasi terhad mereka itu hanya dibenarkan dengan 10 peratus pekerja semasa PKP.

Hari ini tular pula sepucuk surat lain yang dialamatkan kepada syarikat Carlsberg Malaysia.

Susulan pendedahan itu pelbagai pihak tampil membantah kebenaran tersebut sejak semalam lagi. Pemimpin Pemuda PAS kemudian turut menyatakan bantahan mereka sebelum tokoh lebih kanan mengikuti langkah tersebut.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, hari ini berkata sebarang kelulusan terhadap operasi kilang ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara, sebuah badan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Kata Ismail Sabri, mesyuarat khas kabinet hari ini menarik balik kelulusan tersebut. Menurut menteri kanan terbabit, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti ) akan mengeluarkan surat pembatalan berkenaan serta-merta. 

Sementara itu ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, menggunakan pendekatan lebih lembut apabila menganggap keputusan kerajaan PN menarik balik kelulusan itu adalah hasil kehendak rakyat.

"Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tegas mendesak pihak kerajaan menarik balik kebenaran operasi kilang arak sepanjang PKP," katanya di media sosial.

Menurut Nik Mohamad Abduh PAS sentiasa mendukung aspirasi rakyat yang jelas mahukan keadilan untuk semua pihak dan kesejahteraan hidup buat seluruh rakyat yang ketika mereka 'ngeri' dengan pelbagai cerita buruk mengenai kesan arak dalam hidup rakyat.

"Jika kilang-kilang makanan dan minuman yang lebih bermanfaat diarah tutup untuk tempoh sementara, maka apakah keperluan mendesak untuk kilang arak yang keperluannya jauh ketinggalan di belakang?" katanya.

 Sementara itu seorang pemimpin Pemuda PAS, Nurul Islam Mohamed Yusoff, turut mengulas mengenai keputusan kerajaan hari ini.

Menciap di Twitter, Nurul Islam menganggap kabinet mendengar "suara PAS" kerana menarik balik kelulusan yang diberikan tersebut.

"Alhamdulillah suara PAS didengari oleh kabinet. Kelulusan kilang Heineken ditarik balik pagi ini," katanya.


Dapatkan perkembangan terkini wabak Covid-19 Malaysia dengan penjejak dari Malaysiakini di sini.

Lihat Komen
ADS